Pertumbuhan 2022 dijangka lebihi unjuran 6.5-7.0 peratus

Pertumbuhan 2022 dijangka lebihi unjuran 6.5-7.0 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertumbuhan ekonomi 2022 dijangka me­lebihi unjuran awal iaitu 6.5 peratus hingga 7.0 peratus, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM berkata, data terkini menunjukkan bahawa ekonomi negara terus berkembang pada suku terakhir 2022 di­sebabkan oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.

Jelasnya, selepas mencatatkan prestasi yang kukuh pada 2022, pertumbuhan tahun ini dijangka sederhana berikutan ekonomi global yang lebih perlahan, namun terus disokong oleh permintaan dalam negara.

“Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh prospek pekerjaan dan pendapatan yang terus bertambah baik. Ketibaan pelancong terus bertambah, lantas menggiatkan lagi sektor berkaitan pelancongan.

“Pelaksanaan projek infrastruktur berbilang tahun akan menyokong aktiviti pelaburan. Risiko pertumbuhan ekonomi dalam negeri menjadi perlahan terus berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan.

“Selain itu, aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewa­ngan global berikutan dasar monetari yang semakin ketat secara lebih agresif di ekonomi utama, konflik geopolitik yang semakin meruncing serta gangguan ketara pada rantaian bekalan yang kembali wujud,” katanya dalam kenyataan.

Bank pusat itu berkata, inflasi keseluruhan pada tempoh Januari hingga November 2022 berpurata sebanyak 3.4 peratus.

Bagi keseluruhan 2023 katanya, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka sederhana namun kekal pada tahap yang tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos yang berlarutan.

“Kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada serta lebihan kapasiti dalam ekonomi yang masih ada akan terus membendung sebahagian da­ripada tahap tekanan inflasi yang meningkat.

“Imbangan risiko terhadap prospek inflasi cende­rung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan kekal sangat bergantung pada sebarang perubahan pada dasar dalam negeri berhubung dengan subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi global,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN