Pengeluaran pinjaman Proton Commerce melonjak 54%

Pengeluaran pinjaman Proton Commerce melonjak 54%

JUALAN kenderaan bermotor yang berkembang sebanyak 36.1 peratus, menyumbang kepada peningkatan nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia pada Februari 2023 berjumlah RM134.3 bilion. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cabang pinjaman kewangan Proton, Proton Commerce Sdn. Bhd. (Proton Commerce) telah mencatatkan peningkatan pengeluaran pinjaman sebanyak 54 peratus, yang merupakan keputusan terbaik dalam sejarah mereka.

Untuk 2022, Proton Commerce mengeluarkan sebanyak 22,467 pinjaman kepada pembeli Proton.

Menurut Proton, angka itu dicapai selepas lapan daripada 12 bulan mencatat lebih daripada 2,000 pinjaman dengan September mencapai angka tertinggi sepanjang masa iaitu sebanyak 2,872.

“Secara keseluruhan, pertumbuhan volum adalah sebanyak 54 peratus berbanding 2021. Pada masa yang sama, perkembangan jumlah pengeluaran dicerminkan dengan peningkatan dalam kadar kelulusan pinjaman di mana Mei dan Jun mencapai kadar kelulusan tertinggi sepanjang masa sebanyak 59 peratus.

“Satu lagi pencapaian syarikat tahun lepas yang boleh diraikan ialah pencapaiannya untuk menjadi pembiaya utama bagi Proton Saga, model paling laris Proton.

“Bermula dari suku keempat 2021, Proton Commerce telah menjadi peneraju pasaran untuk model itu selama lima suku berturut-turut dan pada November, 32 peratus daripada jumlah unit Proton Saga dibiayai olehnya, satu lagi tanda tinggi baharu,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Commerce, Mooi Fi Phang berkata, Proton menghadapi permulaan yang sukar bagi 2022 dan ini memberi kesan kepada Proton Commerce.

“Bagaimanapun, kami sempat memulihkan keadaan dan menebus semula peluang yang terlepas untuk muncul dengan rekod pengeluaran baharu.

“Untuk tahun ini, kami menyasarkan meningkatkan volum dan kadar kelulusan yang lebih tinggi lagi dengan mengambil kesempatan terhadap populariti berterusan model Proton serta pengenalan model baharu. Semoga ini akan mendorong kami untuk menjadi pembiaya Proton yang utama,” katanya.

Pada 2023, Proton Commerce telah mengumumkan manfaat baharu untuk pelanggannya.

Berkuat kuasa dengan serta-merta, kesahihan Letter Of Undertaking (LOU) yang dikeluarkan akan dilanjutkan dari 90 hari kepada 180 hari yang akan memudahkan pembeli model Proton yang menghadapi masa menunggu lama untuk varian pilihan mereka.

“Selain memanjangkan kesahihan LOU kami, Proton Commerce juga akan mengekalkan kadar faedah yang ditawarkan pada masa kelulusan dan kerana kami menawarkan pembiayaan kadar tetap, pelanggan tidak perlu bimbang tentang peningkatan bayaran bulanan.

“Ini akan memberi manfaat kepada pembeli Proton yang menunggu untuk kereta dan juga bantu mengawal belanjawan peribadi mereka,” katanya lagi.

Proton Commerce yang ditubuhkan pada 27 Oktober 2003, adalah usaha sama antara Proton Edar dan CIMB dengan tujuan menyediakan pinjaman kewangan untuk pembeli Proton.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN