PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyerahkan kunci kepada pemilik baharu Rumah Selangorku Kemuning Idaman dalam satu majlis hari ini.
Antara 650 pemilik baharu itu ialah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), yang telah membeli 30 pangsapuri untuk Skim Smart Sewa.
Ketua Pegawai Eksekutif Paramount Corporation Berhad, Jeffrey Chew berkata, bagi menyokong inisiatif Rumah Selangorku Kerajaan Selangor untuk membantu rakyat Malaysia memiliki rumah, Paramount Property (pemaju Kemuning Idaman) telah menyiapkan 1,356 unit rumah mampu milik di Selangor termasuk Kemuning Idaman.
“Dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, Paramount akan melancarkan lebih 3,000 unit rumah mampu milik di Shah Alam, Salak Tinggi dan Petaling Jaya.
“Kami berharap untuk terus bekerjasama dengan kerajaan Selangor ke arah negeri yang makmur, untuk bersama-sama berkembang kukuh,” katanya dalam kenyataan sempena majlis penyerahan kunci tersebut.
Turut hadir, Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, Dr. Nor Fuad Abdul Hamid dan Pegawai Daerah Klang, Shahman Jalaludin.
LPHS, penganjur bersama acara itu, diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya, Datuk Dr. Juhari Ahmad manakala Paramount Corporation Berhad diwakili oleh Jeffrey Chew dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Benjamin Teo.
Tambah Jeffrey Chew, Paramount telah menyumbang banyak kepada Selangor dengan membangunkan hartanah bernilai kira-kira RM7 bilion sejak 2003, di mana lebih RM5.7 bilion adalah hartanah kediaman, hartanah komersial (lebih RM1.2 bilion) dan selebihnya, hartanah industri.
“Itu tidak termasuk nilai kampus yang telah dibina oleh Paramount untuk sekolah swasta dan kampus pendidikan tinggi.
“Dari segi unit fizikal, Paramount telah melancarkan lebih 10,000 hartanah kediaman (terdiri daripada rumah dan pangsapuri pada harga berbeza untuk pasaran berbeza) dan 1.9 juta kaki persegi ruang komersial termasuk hotel, pejabat, pusat beli-belah, tempat letak kereta dan ruang industri di Selangor.
“Hari ini, Paramount mempunyai 10 projek yang sedang dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur, Kedah dan Pulau Pinang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3 bilion,” katanya.
LPHS telah membeli 30 unit Kemuning Idaman untuk disewakan di bawah Skim Smart Sewa, menjadikan pangsapuri itu boleh diakses oleh mereka yang tidak mampu untuk membelinya.
Kemuning Idaman berpagar dan berkawal terdiri daripada 650 unit pangsapuri dalam dua blok, satu blok merangkumi 16 tingkat dan 17 tingkat.
Pangsapuri itu berharga dari RM100,000 hingga RM192,000 seunit, bergantung kepada saiz unit dan bilangan tempat letak kereta. – UTUSAN










