OPR kekal, Bursa Malaysia ditutup tinggi, ringgit mengukuh

OPR kekal, Bursa Malaysia ditutup tinggi, ringgit mengukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit hari ini, disokong oleh sentimen tempatan yang positif berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Selain itu, ringgit juga semakin mengukuh apabila ditutup pada 4.3020/3050 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada penutupan Rabu pada 4.3170/3220.

Pada pukul 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 72 mata kepada 1,496.22 daripada penutupan semalam pada 1,495.50.

Bursa Malaysia dibuka 0.70 mata lebih rendah pada 1,494.80, dan bergerak antara 1,493.42 dan 1,501.71 sepanjang hari.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 407 berbanding 387, manakala 443 kaunter tidak berubah, 955 tidak diniagakan dan 10 digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 2.50 bilion unit bernilai RM1.90 bilion berbanding 2.70 bilion unit bernilai RM2.0 bilion, semalam.

Dalam mesyuarat pertama tahun ini, BNM membuat keputusan yang mengejutkan pasaran dengan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus.

Keputusan tersebut selepas bank pusat menaikkan OPR sebanyak 100 mata asas dalam empat mesyuarat tahun lalu.

Menurut AmBank Economic Research, BNM mengambil sikap berhati-hati dalam menilai kesan OPR terhadap ekonomi.

“Kami melihat penilaian BNM adalah risiko kepada prospek pertumbuhan global condong ke bawah akibat ketegangan geopolitik, pertumbuhan yang lebih lemah daripada jangkaan dalam ekonomi utama, dan pengetatan mendadak dalam keadaan pasaran kewangan.

“BNM melihat bahawa ekonomi akan disokong oleh permintaan domestik, peningkatan dalam sektor pelancongan dan aktiviti pelaburan.

“Walaupun permintaan dalam negeri dijangka menyokong ekonomi, cabaran di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan pada 2023 adalah kunci faktor penyederhana kepada tinjauan keseluruhan.

“Jumlah dagangan yang keluar semalam menunjukkan pertumbuhan yang lebih perlahan memberikan petunjuk tentang bagaimana prestasi perdagangan Malaysia tahun ini,” katanya.

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan ramalan OPR 2023 pada 3.0 peratus atas beberapa faktor termasuk penggunaan swasta terlalu kuat, inflasi teras, kadar faedah sebenar dan pasaran buruh yang ketat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN