OPR dijangka naik hingga 3.5 peratus tahun ini

OPR dijangka naik hingga 3.5 peratus tahun ini – RHB Investment Bank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: RHB Investment Bank mengunjurkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia akan dinaikkan hingga 3.50 peratus tahun ini.

Dalam nota penyelidikannya, RHB Investment berkata, kadar tersebut sejajar dengan jangkaan kadar dana persekutuan Amerika Syarikat (AS) mencapai 5.0 hingga 5.25 peratus pada 2023.

Katanya, aliran daripada pe­ningkatan terkumpul 100 mata asas pada 2022 serta kemungkinan dua hingga tiga kenaikan OPR lagi pada 2023 bermakna, margin faedah bersih (NIM) bank akan mengembang semula pada suku keempat 2022 dan berkemungkinan hingga ke separuh pertama 2023.

“Bank telah mendapat manfaat daripada profil pembiayaan yang lebih baik, dengan pertumbuhan kukuh dalam deposit akaun simpanan akaun semasa sejak dua tahun lalu.

“Dorongan aliran NIM akan hilang pada separuh kedua 2023 apabila kos pendanaan meningkat berikutan kesan ketinggalan penetapan harga deposit serta peningkatan persaingan untuk deposit pelanggan,” katanya.

Sementara itu, RHB Investment berkata, penunjuk pinjaman menunjukkan pengurangan dalam permintaan kredit dengan pertumbuhan pinjaman sederhana kepada lima peratus tahun ke tahun pada 2023, daripada unjuran 5.8 peratus tahun lalu.

Menurutnya, bank tidak terganggu oleh nisbah pinjaman terjejas kasar yang lebih tinggi, disebabkan oleh tamat tempoh progresif bantuan pembayaran balik untuk peminjam yang terjejas oleh pandemik Co­vid-19, kerana mereka dilindungi secukupnya oleh peruntukan yang diwujudkan pada 2020 hingga 2021.

“Dengan pinjaman di bawah bantuan pembayaran balik dikurangkan kepada kira-kira lima peratus hingga enam peratus daripada pinjaman kasar untuk kebanyakan bank pada Oktober hingga November 2022 dan pembentukan pinjaman tidak berbayar baharu yang kembali ke tahap pra-pandemik, caj penjejasan asas sepatutnya normal pada 2023,” jelasnya.

RHB Investment turut menjangkakan kos kredit sektor menurun kepada 31 mata asas pada tahun kewangan 2023, daripada 35 mata asas pada tahun kewangan 2022.

“Kami menganggap tiada pembalikan tindanan pengurusan pada 2023. Kami menjangkakan pendapatan fi teras tahun kewangan 2023 bank akan pulih sebanyak 7.2 peratus tahun ke tahun daripada penurunan 8.3 peratus pada tahun lalu.

“Peningkatan itu akan datang daripada yuran yang lebih tinggi berikutan pertumbuhan pinjaman yang berterusan, perbelanjaan kad yang lebih tinggi dan peningkatan dalam pendapatan pasaran modal, apabila sentimen pelabur bertambah baik pada bahagian akhir 2023,” tambahnya.

Dalam pada itu, firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia menjadi sederhana kepada 4.5 peratus pada 2023, daripada anggaran 7.5 peratus kepada 8.0 peratus pada 2022.

Katanya, perkara tersebut akan disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN