MYAirline perkenal tempat duduk SuperEco

MYAirline perkenal tempat duduk SuperEco

Tempat duduk SuperEco memberikan lebih keselesaan kepada penumpang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan tambang rendah MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) dengan kerjasama  pembekal ruang dalaman pesawat terkemuka, Geven memperkenalkan tempat duduk mesra alam dan ergonomik bagi pesawat A320 miliknya.

Tempat duduk dipanggil SuperEco yang dikeluarkan di Itali itu, menampilkan penutup empuk ELeather menggunakan gentian kulit asli yang digabungkan dengan bahan teras prestasi tinggi untuk menjadikannya lebih ringan.

Tidak cukup dengan itu, tempat duduk berkenaan turut menggabungkan reka bentuk segar, bertenaga dan ringan yang selesa untuk penerbangan jarak dekat dan sederhana.

Di samping itu, SuperEco berkenaan juga dibuat daripada bahan  yang mesra alam dan lestari.

Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline, Rayner Teo berkata, rekaan tempat duduk yang anggun itu direka bentuk secara ergonomik dan ringan selari dengan aspirasi MYAirline sebagai syarikat penerbangan mesra alam.

“Kami teruja untuk memulakan perkongsian dengan Geven dan menjadi yang pertama di rantau ini untuk menawarkan tempat duduk pesawat yang lebih mampan.

“Secara keseluruhan, kerusi ringan ini mengurangkan pembakaran bahan api dan pelepasan karbon dioksida serta merupakan langkah positif kami dalam usaha mengurangkan jejak karbon,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Rayner berkata, tempat duduk MYAirline yang boleh dibaringkan pada sudut 109.4 darjah direka untuk menjadi ergonomik dan memberikan keselesaan berbanding kedudukan baring maksimum beberapa syarikat penerbangan lain.

Katanya, kedudukan berkenaan untuk memastikan memastikan ruang sentiasa mencukupi bagi semua pelanggan MYAirline dan mengelakkan pertembungan antara tempat duduk dan penumpang.

“Kelengkapan dalaman kami yang dipilih dengan teliti adalah bukti usaha kami dalam memastikan keselamatan operasi, kecekapan dan kemampanan, sambil memberikan keselesaan kepada penumpang.

“Selain selesa, kerusi superEco bukan sahaja ringan tetapi mudah diselenggara. Ini membantu mengekalkan struktur kos kami rendah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN