PETALING JAYA: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjangkakan potensi pelaburan langsung asing (FDI) bernilai kira-kira RM3.25 bilion daripada pelabur Itali yang dijangka direalisasikan bermula pada tahun ini.
Menurut kenyataan MIDA, baru-baru ini, pihaknya memaklumkan peluang perniagaan masa depan Malaysia-Itali dan kerjasama strategik khususnya dalam bidang seperti industri kimia, teknologi hijau, e-Ekonomi, teknologi pintar dan rantaian nilai Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (gambar) berkata, selaras dengan komitmen kerajaan untuk menjadi pro-perniagaan, pro-pelaburan dan pro-perdagangan, kementerian dan agensinya bersedia untuk meningkatkan hubungan dengan pelabur yang membawa masuk pelaburan berteknologi tinggi dan berkualiti.
Kata beliau, perkara tersebut akan membantu mewujudkan pekerjaan dengan pendapatan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.
“Dari sudut pandangan FDI, negara kita sudah pun diiktiraf kerana lokasinya yang strategik di Asia Tenggara, ekosistem industri yang pelbagai dan kumpulan bakat yang berkelayakan.
“Apa yang penting sekarang adalah untuk menangani semua perkara yang sukar dalam perjalanan pelabur untuk meningkatkan keseluruhan kemudahan menjalankan perniagaan di Malaysia,” katanya.
Beliau sebelum itu mengetuai lawatan kerja ke Itali pada 20 hingga 23 Januari lalu untuk mengukuhkan hubungan perniagaan antara kedua-dua negara.
Hasil lawatan tersebut, beberapa syarikat Itali telah menyatakan minat mereka untuk melabur di Malaysia, memandangkan kedudukan strategik negara sebagai pintu masuk ke ASEAN dan rantau Asia Pasifik.
Semasa lawatan itu, Tengku Zafrul terlibat dengan beberapa perbincangan bersama pemimpin perniagaan yang berpengaruh dan berpotensi melalui mesyuarat perniagaan perseorangan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata, MIDA terus mengalu-alukan FDI berkualiti tinggi dari seluruh dunia, termasuk dari Itali.
“Pelaburan ini memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia kerana kesannya yang berganda kepada ekonomi dan akan terus menyokong era pasca pandemik,” ujarnya.
Itali adalah pelabur asing kesembilan terbesar Malaysia daripada Kesatuan Eropah. Sebanyak 77 projek pembuatan dengan penyertaan Itali telah dilaksanakan dengan jumlah pelaburan sebanyak AS$382 juta (RM1.4 bilion), mewujudkan 4,346 peluang pekerjaan sehingga September 2022. – UTUSAN










