MBSB Bank, CelcomDigi jalin kerjasama

MBSB Bank, CelcomDigi jalin kerjasama

NOR Azam M. Taib (kiri) dan Mohamad Idham Nawawi pada majlis menandatangani kerjasama antara MBSB dan CelcomDigi di Petaling Jaya, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CelcomDigi sebagai sebahagian daripada perjalanan pendigitalan berterusannya selain memperkaya pengalaman pelanggan.

Perkongsian sulung antara perbankan Islam itu dan syarikat telekomunikasi terbesar negara tersebut akan menyokong MBSB Bank untuk terus melayani pe­langgannya dengan lebih baik, pada masa yang sama meningkatkan kecekapan operasi.

Di bawah perkongsian itu, MBSB Bank dan CelcomDigi akan meneroka peluang dalam penyelesaian perbankan pintar hujung ke hujung, merangkumi perkhid­matan komprehensif untuk keselamatan siber, pembiayaan penyelesaian runcit pintar, dan teknologi infrastruktur awan.

Selain itu, kedua-dua syarikat berhasrat untuk bekerjasama dalam mencari peluang komersial baharu yang akan memberi manfaat kepada pelanggan dan pekerja mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, kerjasama dengan CelcomDigi merupakan kejayaan penting terutamanya dalam industri perbankan yang menjadi semakin berdaya saing berikutan kemajuan teknologi.

“Justeru, adalah menjadi ha­rapan kami agar kerjasama secara strategik dengan pene­raju pasaran dapat mempercepatkan kemajuan kami dalam ruang itu.

“Kami merancang untuk me­wujudkan penyelesaian internet kebendaan (IoT) perindustrian sebagai sebahagian daripada pembiayaan perniagaan, memfokuskan pada penggunaan teknologi hijau, automasi dan jaminan kualiti.

“Bank juga berhasrat untuk memanfaatkan teknologi awan untuk memajukan keupayaan digital kami kerana ini akan membantu meningkatkan tahap daya saing syarikat,” katanya dalam kenyataan.

MoU ditandatangani oleh Nor Azam dan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Mohamad Idham Nawawi pada majlis yang diadakan di Menara CelcomDigi dekat sini.

Sementara itu, Mohamad Idham berkata, pihaknya teruja untuk menjadi rakan kongsi di­gital MBSB Bank bagi menyokong ke­perluan pendigitalan mereka.

“Kami percaya kami mempunyai kepakaran dan sumber yang betul yang akan membantu memajukan keupayaan digital Bank MBSB, sambil bank itu maju dalam memanfaatkan teknologi untuk membawa produk, perkhidmatan dan pe­ngalaman yang dipertingkatkan kepada pelanggannya,” katanya.

“Syarikat berharap dapat membuka lebih banyak nilai daripada sinergi kami, sambil berinovasi bersama menyokong agenda digital negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN