PETALING JAYA: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mengunjurkan peningkatan jumlah pelancong China ke Langkawi pada tahun ini dengan pembukaan semula sempadan negara itu dijangkakan Mac depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib (gambar) berkata, perkembangan tersebut berita baik kepada Langkawi kerana pelancong China dikenali sebagai penyumbang tertinggi dari segi ketibaan dan perbelanjaan ke pulau berkenaan sebelum ini.
Katanya, statistik dari tahun-tahun sebelumnya menunjukkan pelawat dari China telah lama mengagumi Langkawi dan pihaknya amat gembira kerana dapat menyambut mereka kembali.
“Malah, saya pasti pelancong ini juga sangat teruja untuk kembali kepada kebiasaan dan ini memerlukan ‘rawatan’ yang terbaik kepada mereka setelah melalui tempoh yang sangat mencabar.
“Kami memahami kebimbangan rakyat Malaysia berikutan arus gelombang Covid-19 di China.
“Walau bagaimanapun, kami percaya kami bersedia untuk menguruskan keadaan itu berikutan pengalaman lalu dalam menjayakan Langkawi sebagai perintis Gelembong Perjalanan Antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, kejayaan projek perintis di Langkawi menyebabkan kerajaan menggunakannya sebagai asas yang kukuh dan menjadikannya contoh di seluruh negara, seterusnya mengesahkan strategi tersebut berjaya.
Menurutnya, bagi mengurangkan kebimbangan mengenai Covid-19 dan kemungkinan peningkatan jumlah kes, LADA telah mengaktifkan semula usaha mereka dalam menyediakan kemudahan ujian covid.
“Safetrac Langkawi dan BP Heathcare akan menyediakan sumber khusus untuk ujian serta-merta (on-the-spot).
“Setelah mempelajari dan menambah baik pengalaman lepas, LADA akan bekerjasama dengan makmal swasta di pulau itu untuk menjalankan saringan Covid-19 untuk pelancong yang tiba dari China,” ujarnya.
Berhubung masalah feri yang menjadi isu untuk pelancong ke pulau tersebut selama ini, Nasaruddin berkata, Jabatan Laut mendedahkan bahawa kerja-kerja pengorekan di Kuala Kedah telah pun disiapkan dengan kerja-kerja di Kuala Perlis akan disiapkan pada Februari 2023.
“Perkhidmatan akan disambung semula pada 9 Januari 2023 dan 1 Mac 2023 di lokasi masing-masing. Kami berbesar hati untuk mengumumkan akan ada lebih banyak perjalanan dalam sehari Kuala Kedah-Langkawi dari 7 pagi hingga 7 malam.
“Kekerapan perjalanan akan ditingkatkan bergantung kepada permintaan untuk perjalanan ke pulau itu. Sebelum wabak, kami mempunyai 12 perjalanan sehari dan itu adalah penanda aras yang kami berhasrat untuk kembali,” jelasnya. – UTUSAN










