Kutipan, bilangan pembayar zakat di Melaka meningkat

Kutipan, bilangan pembayar zakat di Melaka meningkat

MOHD. ALI Mohd. Rustam (dua dari kanan) menerima replika cek sebagai simbolik Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jumlah pembayar zakat di negeri ini meningkat hampir lima peratus kepada 53,414 orang tahun lalu berbanding 50,953 orang pada 2021.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, kutipan zakat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pula meningkat kepada RM116.8 juta sepanjang 2022.

Menurutnya, jumlah itu meningkat hampir RM11 juta atau 10.21 peratus berbanding RM106 juta pada 2021.

“Bilangan pembayar zakat meningkat daripada 50,953 orang pada 2021 kepada 53,414 orang pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 4.83 peratus. Zakat Melaka pula merekodkan peningkatan kutipan zakat sebanyak RM10,826,149.55 dan menjadikan jumlah setakat 31 Disember lalu sebanyak RM116.8 juta.

“Kita menyasarkan kutipan zakat pada tahun ini berjumlah RM118 juta,” katanya pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir Sama Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Md. Rawi Mahmud.

Tambah Sulaiman, zakat pendapatan mencatatkan kutipan tertinggi berjumlah RM69.4 juta diikuti zakat wang simpanan sebanyak RM22.4 juta sementara RM16.8 juta daripada zakat perniagaan.

Menurutnya, zakat pertanian pula merekodkan kutipan terendah iaitu sebanyak RM57,347.09 .

“Bagaimanapun, kesemua kutipan zakat menunjukkan peningkatan termasuk bilangan pembayar zakat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN