PETALING JAYA: Kulim (Malaysia) Berhad (KULIM), menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam usaha memacu tadbir urus yang lebih baik, budaya integriti dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan anggota
pekerja dan vendor mengenai amalan bebas rasuah di syarikat berkenaan.
Pengarah Urusan KULIM, Mohd. Faris Adli Shukery menandatangani IBR disaksikan oleh Timbalan Pengarah (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid sempena Hari Integriti KULIM 2023 di pusat latihannya di Kota Tinggi.
Pada majlis tersebut, Ikrar Integriti Vendor telah ditandatangani oleh 15 vendor utama KULIM.
Mohd. Faris berkata, ikrar itu merupakan inisiatif syarikat untuk mengekalkan tahap integriti yang tinggi, tadbir urus dan ketelusan dalam operasi perniagaan.
“Kami mahu memupuk kesedaran dalam kalangan anggota pekerja KULIM tentang kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni dan memupuk integriti sebagai tanggungjawab setiap anggota pekerja KULIM.
“Begitu juga dengan vendor kami, untuk bertindak demi kepentingan terbaik KULIM dan mengekalkan tahap integriti, ketelusan dan akauntabiliti yang tinggi dalam menjalankan perniagaan dan operasi KULIM,” katanya dalam kenyataan.
Selaras dengan tadbir urus yang baik, KULIM memperoleh Pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) ISO 37001:2016 pada 4 Jun 2021.
Pensijilan tersebut meliputi operasi perladangan termasuk ladang dan kilang kelapa sawit, operasi nanas, operasi penternakan dan perkhidmatan korporatnya di Malaysia.
Pada tahun akan datang, KULIM akan memperluaskan skop pensijilan ISO ABMS untuk syarikat subsidiarinya yang lain.
Bagi mengukuhkan amalan tadbir urus korporatnya, KULIM juga telah mewujudkan Ikrar Integriti Vendor yang berfungsi sebagai perjanjian antara KULIM dan vendornya untuk mencegah rasuah, pakatan sulit atau amalan berkaitan rasuah bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam proses pembelian. – UTUSAN










