PETALING JAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) memeterai memorandum persefahaman (MOU) bagi memperkasa pembangunan rel negara dalam bidang kejuruteraan, sistem, pengurusan rantaian bekalan pengangkutan dan lain-lain.
Dalam kenyataan bersama, UTAR dan KTMB berkata, kerjasama itu akan memberikan hasil khusus untuk kedua-dua pihak seperti kerjasama akademik termasuk pembangunan kursus dan kurikulum dengan Pusat Kecemerlangan Akademi KTM (MyRA), penerbitan untuk penyelidikan berkaitan kereta api, pertukaran profesional dalam seminar akademik, latihan, pembelajaran dan perundingan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata: “KTMB sentiasa mengalukan kolaborasi atau kerjasama untuk berkongsi kepakaran dan penyelidikan bagi tujuan pembangunan dan mewujudkan kerjasama yang mampan antara dua pihak.”
Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih melalui pemeteraian itu, KTMB berbesar hati memberikan diskaun perjalanan sebanyak 50 peratus kepada semua kakitangan UTAR.
Presiden UTAR, Ir. Prof. Datuk Dr. Ewe Hong Tat pula menjelaskan, perkongsian strategik itu akan memberi ruang kepada UTAR, terutamanya dalam melahirkan program-program inovatif yang dapat digunapakai dalam memacu kemajuan industri
kereta api.
Selain itu katanya, melalui memorandum itu juga, kedua-dua pihak dapat bekerjasama dan mencapai objektif melahirkan graduan yang bersedia untuk industri rel.
“MOU ini dapat melaksanakan program bersama di dalam penyelidikan, perundingan dan pertukaran teknologi mengenai sistem elektrifikasi rel, persemboyanan, kejuruteraan landasan, rolling stock dan juga perkembangan
teknologi baru,” katanya. – UTUSAN










