KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyerahkan permohonan membantu 127,000 golongan miskin tegar kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk dimasukan dalam Bajet 2023.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, permohonan yang dihantar merupakan cadangan agar kerajaan menyediakan geran tertentu bagi membolehkan KPDN menyantuni golongan miskin tegar berkenaan.
Menurut beliau, permohonan berkenaan selari dengan inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan kementeriannya dalam menangani kenaikan kos sara hidup.
“Tahun pertama ini, KPDN akan menjadikan agenda kos sara hidup sebagai keutamaan kerajaan dan kita telah membuat pelbagai inisiatif termasuk Payung Rahmah yang telah dijenamakan dan diangkat sebagai agenda nasional oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Maka dengan itu kita sasarkan untuk menyelesaikan paling kurang golongan miskin tegar yang mengikut statistik berjumlah hampir 127,000 seluruh negara.
“Kumpulan sasar inilah kita utamakan, maka kementerian telah menghantar peruntukan kepada pihak MoF supaya geran-geran tertentu untuk kita santuni golongan miskin tegar ini dapat diberi perhatian dalam bajet nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis pembukaan cawangan pertama kafe bakeri Paris Baguette di Pavilion, Bukit Bintang, di sini, hari ini.
Sementara itu, Salahuddin dalam ucapannya berkata, KPDN sentiasa mengalu-alukan lebih banyak syarikat asing membuka perniagaan mereka di dalam negara bagi merancakkan ekonomi.
Katanya, KPDN telah meliberalisasikan dasar penyertaan asingnya dalam sektor perdagangan dan perkhidmatan pengedaran di Malaysia untuk menjadikannya lebih mesra pelabur.
“Saya harap dalam kerajaan begitu fokus untuk menghidupkan kembali suasana perniagaan sama ada dalam negera atau luar negara maka sudah pasti KPDN akan memberikan segala kemudahan kepada syarikat asing dan tempatan menjalankan perniagaan,” katanya. – UTUSAN










