PETALING JAYA: Kenaikan harga barang dan kos sara hidup sama ada di bandar mahupun kawasan luar bandar terus menjadi cabaran pada 2023.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kerajaan sepatutnya mencerakin setiap rangkaian bekalan nilai bagi setiap barangan kerana setiap satunya mempunyai kaedah perdagangan yang berbeza dan mempunyai pemain industri yang berbagai.
“Dengan menumpukan masalah kepada rantaian bekalan nilai itu, maka lebih mudah bagi kerajaan menangani kenaikan kadar harganya,” ujarnya baru-baru ini.
Mengambil contoh kenaikan harga ayam dan telur disebabkan oleh kenaikan harga jagung import yang merupakan 60 peratus daripada makanan ayam tersebut, beliau berkata, penyelesaian terbaik adalah memberi subsidi kepada makanan ayam yang diimport dan memastikan penternak menurunkan harga ayam.
Tambahnya, untuk jangka masa sederhana pula, kerajaan perlu membangunkan industri hiliran tempatan untuk membekalkan makanan ayam tanpa perlu mengimport lagi pada masa depan.
“Untuk jangka panjang, agensi kerajaan perlu bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk membangunkan sektor pertanian.
“Kita patut belajar dan mencontohi Thailand yang begitu berjaya dengan 38 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disumbangkan oleh industri pertanian,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi menjangkakan kadar inflasi pada Disember sekitar 4.0 ke 5.0 peratus, berbanding 4.0 peratus bulan sebelumnya didorong oleh kemasukan barang import yang membawa bersama kenaikan kadar inflasi global.
Kata beliau, kenaikan kadar inflasi negara bukan disebabkan oleh permintaan yang tinggi tetapi ia lebih disebabkan peningkatan harga barang yang dibekalkan.
Katanya, boleh dikatakan peningkatan permintaan hanyalah sedikit berikutan pembukaan ekonomi fasa endemik.
“Tambahan pula, ringgit yang lemah dan berada pada RM4.42 ketika ini berbanding RM4.18 pada Disember 2021, turut memberi kesan berganda kepada barangan yang diimport.
“Kadar inflasi negara serantau juga tidak menunjukkan kenaikan tersebut akan mereda, malah ketidaktentuan ekonomi global yang dijangka memasuki kemelesetan tahun depan terus memberikan tekanan kepada negara yang mengamalkan ekonomi terbuka seperti Malaysia,” katanya.
Menurut Aimi Zulhazmi, peningkatan kadar inflasi pasti memberi kesan kepada kehidupan rakyat, apatah lagi kenaikan pendapatan tidak setimpal dengan fasa pemulihan ekonomi. – UTUSAN










