PETALING JAYA: Ketika pelbagai sektor mengalu-alukan kemasukan pekerja asing ke negara ini, terdapat pula pandangan berlaku risiko aliran keluar tunai yang tinggi apabila mereka menghantar wang gaji ke negara asal.
Jika dihitung dengan mengambil kira gaji minimum RM1,500, sebanyak 500,000 pekerja asing tersebut akan menghantar kira-kira RM750 juta sebulan sekali gus meningkatkan aliran keluar tunai negara tahun ini.
Itu hanya nilai untuk 500,000 pekerja asing yang bakal dibawa masuk dan sekiranya ditambah dengan pekerja asing sedia ada di negara ini, jumlahnya sudah tentu lebih besar.
Pensyarah ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, perkara itu memang satu gejala yang perlu diambil perhatian kerana jumlah aliran keluar tunai sudah meningkat daripada RM20 bilion ke RM35 bilion dan kini mencecah RM60 bilion setahun.
Bagaimanapun, ujarnya, sekiranya pekerja asing itu dibawa masuk untuk bekerja dalam sektor yang melibatkan eksport seperti sektor pembinaan dan perladangan, kesannya tidak terlalu negatif.
“Kita perlu lihat kepada majikan mereka, sekiranya syarikat antarabangsa atau melibatkan eksport, itu akan mewujudkan situasi menang-menang kerana kita juga mendapat manfaat kerana syarikat itu membawa aliran masuk tunai daripada jualannya.
“Kita perlu bertindak sebagai hab industri Asia dan apabila pekerja dari Asia datang bekerja dengan syarikat antarabangsa di Malaysia, kita sebenarnya tidak kerugian apa-apa malah mendapat nilai tambah daripada pewujudan industri tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, media melaporkan, sejumlah 500,000 pekerja asing dibawa akan masuk ke negara ini secara berperingkat menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja asing.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, kemasukan pekerja asing itu khusus bagi lima sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).
Tegas beliau, apa yang dibimbangkan adalah sekiranya pekerja asing tersebut dibawa masuk untuk memenuhi kekosongan industri tempatan seperti perkhidmatan termasuk pekerja rencam dan pekerja restoran.
“Jika pekerja asing ini hanya bekerja di kedai runcit atau restoran, ia akan memberi impak besar apabila mereka menghantar pulang wang tunai ke negara asal mereka.
“Pusingan wang ringgit dalam negara akan berkurang kerana mereka tidak berbelanja di dalam negara, sekali gus memberi impak kepada tingkat pendapatan negara secara umumnya,” ujarnya. – UTUSAN










