PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang, meningkat kepda 3.5 peratus pada Disember 2022 daripada 3.2 peratus bulan sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, semua sektor menunjukkan peningkatan kecuali sektor pertanian, perhutanan & perikanan yang mencatatkan penurunan negatif 17.5 peratus (November 2022: -18.5%).
Kata beliau, penguncupan dalam indeks Penanaman tanaman kekal (-27.3%) yang telah mencatatkan penyusutan dua digit selama enam bulan berturut-turut menyumbang kepada penurunan dalam indeks itu.
Walau bagaimanapun katanya, sektor pembuatan meningkat 6.1 peratus (November 2022: 6.2%) disebabkan oleh kenaikan 14.2 peratus dalam indeks pembuatan kok & produk petroleum bertapis, diikuti oleh pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (9.3%) dan pembuatan kimia & produk kimia (3.1%).
“Sektor perlombongan juga mencatatkan peningkatan 3.7 peratus (November 2022: 2.4%). Sektor bekalan air dan bekalan elektrik & gas, pada masa yang sama masing-masing merekodkan kenaikan 3.8 peratus dan 1.0 peratus.” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau lagi, perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan menurun negatif 0.3 peratus pada Disember 2022 berbanding 0.6 peratus pada bulan sebelumnya.
Ia disebabkan oleh penurunan indeks pertanian, perhutanan & perikanan yang mencatat negatif 1.7 peratus pada Disember 2022 (November 2022: 5.5%), dipengaruhi oleh penurunan dalam indeks perikanan (-5.6%) dan penanaman tanaman kekal (-2.2%).
“Selain itu, harga buah tandan segar kelapa sawit juga turun negatif 2.4 peratus pada bulan ini,” katanya.
Ketua Perangkawan turut mengulas berkenaan kadar IHPR pengeluaran tempatan bagi tahun 2022, yang meningkat 7.8 peratus, lebih rendah berbanding 9.5 peratus yang direkodkan pada 2021.
Kata beliau, pada separuh pertama 2022, IHPR pengeluaran tempatan meningkat pada kadar yang lebih laju disokong oleh kenaikan harga komoditi utama Malaysia iaitu minyak sawit mentah dan minyak mentah yang antaranya disebabkan oleh tekanan geopolitik antara Russia dan Ukraine.
Selain itu, isu peningkatan kos bahan makanan ternakan dan baja turut menyumbang kepada kenaikan dalam IHPR pengeluaran tempatan.
“Walau bagaimanapun, kenaikan IHPR pengeluaran tempatan mula sederhana pada Jun 2022 disokong oleh penurunan harga Minyak sawit mentah yang mula menurun sehingga mencecah paras RM3,000.00 pada separuh kedua 2022. Penurunan ini antaranya disebabkan oleh permintaan global yang lebih rendah kesan daripada pembukaan eksport minyak sawit dari Indonesia dan permintaan kepada minyak sayuran lain yang meningkat,” katanya. – UTUSAN










