PETALING JAYA: AIA Group Limited (AIA) mengumumkan pelantikan penyerang Tottenham Hotspur dan Kapten pasukan England, Harry Kane sebagai Duta AIA.
Pelantikan Harry sebagai Duta syarikat adalah hasil kerjasama antara beliau dengan AIA melalui Tottenham Hotspur selama 10 tahun.
Menurut syarikat itu, AIA dan Kane berkongsi matlamat yang sama untuk menangani kesihatan mental dan daya tahan.
“AIA akan bekerjasama dengan Yayasan Harry Kane (HKF) untuk memperjuangkan kepentingan kesihatan dan kesejahteraan mental melalui perkongsian tersebut.
“Kempen ini akan dimulakan dengan sebuah animasi yang dihasilkan sendiri oleh Harry bertajuk Harry Kane: Resilience yang bertujuan mempromosikan kepentingan pemikiran positif, kepercayaan diri serta mendapatkan sokongan daripada orang lain,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan AIA, Stuart A. Spencer berkat, AIA teruja dan mengalu-alukan pelantikan Kane sebagai Duta AIA dan mengukuhkan lagi perkongsian syarikat dengan Tottenham Hotspur.
Kata beliau, AIA komited mempercepatkan sebuah gerakan ke seluruh Asia untuk mencapai penglibatan satu bilion individu untuk Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna menjelang 2030.
“Pengikut dan pengaruh Harry yang besar akan membantu memberi inspirasi dan mendidik komuniti di seluruh rantau ini,” katanya.
Kane pula berkata, beliau berbesar hati dilantik sebagai Duta AIA.
“Saya percaya pada nilai mengekalkan gaya hidup sihat dan merasakan adalah penting bagi saya menggunakan kedudukan dan pengaruh saya untuk menggalakkan orang ramai menjaga kesihatan mental mereka. Saya amat teruja bekerjasama dengan AIA dan menyokong usaha Syarikat untuk meningkatkan tahap kesihatan komuniti di seluruh Asia,” katanya. – UTUSAN










