KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengangkat pengapungan harga siling ayam dan telur ayam selepas bekalan kedua-dua barangan berkenaan dijangka pulih dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya sedang menunggu masa untuk mengangkat semula harga siling barangan tersebut.
“Saya telah nyatakan hasil laporan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, bekalan ayam telah pulih sepenuhnya dan bekalan telur akan pulih paling kurang tiga bulan lagi.
“Jadi hanya menunggu masa sahaja untuk harga siling diangkat balik kerana ia telah dilakukan terlalu lama, hampir setahun lebih,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pembukaan cawangan pertama kafe bakeri Paris Baguette di Pavilion, Bukit Bintang di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi, harga siling yang bakal diangkat kembali itu sedang menunggu keputusan yang akan diputuskan oleh kabinet sendiri.
Terdahulu, Salahuddin dalam laporan media berkata, penetapan harga siling RM9.40 sekilogram bagi ayam standard di pasaran akan dikaji semula bagi memastikan rakyat mendapat sumber protein itu pada harga yang lebih stabil.
Bagaimanapun ketika ditanya sama ada harga siling baharu itu nanti akan lebih murah berbanding harga siling semasa atau sebaliknya, Salahuddin berkata, perkara itu akan ditentukan kemudian dan berharap rundingan baik dapat dilakukan dengan pemain industri. – UTUSAN










