PETALING JAYA: Gentari Sdn. Bhd. (Gentari) bersama pembekal infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) berpangkalan di Bangkok, Evolt Technology Company Limited (Evolt) menjalin usahasama strategik bagi meneroka kerjasama dalam menawarkan penyelesaian tenaga bersih.
Penyedia penyelesaian tenaga bersih Malaysia itu, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Gentari Green Mobility Sdn. Bhd. telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Evolt.
Gentari dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua syarikat akan bekerjasama untuk mengembangkan infrastruktur dan penyelesaian pengecasan EV di seluruh Asia Tenggara.
Tambahnya, kerjasama tersebut juga membolehkan Gentari dan Evolt menerokai potensi usahasama lain dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian mobiliti hijau.
Ketua Pegawai Mobiliti Hijau Gentari, Shah Yang Razalli berkata, MoU berkenaan merupakan penyertaan sulung syarikat berkenaan dalam pembangunan infrastruktur serantau di Asia Tenggara.
Katanya, usahasama dengan Evolt itu akan memenuhi hasrat Gentari dalam mengukuhkan kedudukannya di Thailand di samping bakal menyaksikan sinergi antara kepimpinan pasaran Evolt di Thailand serta kepakaran serantaunya dengan matlamat Gentari untuk mengembangkan rangkaian mobiliti hijau ke pasaran utama di Asia Pasifik.
“Gentari dan Evolt akan bersama-sama meneroka potensi pelaburan untuk membangunkan infrastruktur pengecasan serantau bermula di Thailand, dengan tumpuan lokasi komersial seperti pusat beli-belah, hotel dan pejabat, serta hab transit dengan jumlah trafik yang tinggi.
“Apabila rangkaian jalan serantau menjadi lebih bersepadu, kami turut melihat potensi dalam meneroka perkhidmatan perayauan dalam infrastruktur pengecasan, justeru menawarkan pengalaman pengecasan lebih lancar kepada pemandu EV walaupun ketika memandu merentasi sempadan,” katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Evolt, Poonpat Loharjun berkata, usahasama strategik dengan Gentari menandakan pencapaian penting bagi Evolt dalam memacu pembangunan stesen pengecasan EV.
Menurut Poonpat, Evolt mempunyai kepakaran dalam mengenal pasti lokasi tepat bagi pemasangan stesen pengecasan untuk semua gaya hidup pengguna, termasuk untuk tujuan riadah atau kerja.
“Gentari telah berjaya memasang lebih 250 kemudahan pengecasan di India dan Malaysia serta semakin terkenal dan diyakini oleh pengguna di rantau ini.
“MoU ini akan menyaksikan kami bekerjasama dalam pelaburan dan pembangunan stesen pengecasan di Thailand serta meningkatkan keupayaan dan kesediaan untuk merebut peluang perniagaan pengecasan EV di Asia Pasifik,” katanya. – UTUSAN










