Gamuda Land beli tanah 532 ekar

Gamuda Land beli tanah 532 ekar

GAMUDA Gardens, antara projek hartanah dibangunkan oleh Gamuda yang mendapat sambutan di pasaran. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gamuda Land terus mengukuhkan kehadiran­nya di utara Lembah Klang de­ngan pemerolehan strategik tanah seluas 532 ekar yang terletak bersebelahan tapak tanah seluas 810 ekar Perbandaran Gamuda Gardens sedia ada untuk pertimba­ngan pembelian bernilai RM360 juta.

Mengulas mengenai pengambilalihan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Chu Wai Lune berkata, pihaknya bersedia membangun dan melabur secara besar-besaran di Gamuda Gardens yang sangat mendapat sambutan itu.

“Hari ini, kita lihat purata ke­seluruhan pengambilan adalah lebih daripada 90 peratus untuk semua hartanah yang dilancarkan di sini sejak 2017. Pengambilalihan baharu ini akan membantu menambah tawaran kediaman Gamuda Land dalam kawasan itu sebagai kesinambungan kepada kejayaan Gamuda Gardens.

“Kami menjangkakan pe­ngambilan yang lebih besar untuk produk hartanah runcit, percutian dan komersial yang akan datang dalam tempoh dua tahun lagi untuk disesuaikan dengan pasaran yang sedang berkembang di kawasan ini,” katanya dalam kenyataan.

Pembeli Gamuda Gardens telah melihat peningkatan dalam pelaburan mereka, dengan fasa pertama rumah teres yang dilancarkan pada 2017 mencatatkan peningkatan sehingga 20 peratus hari ini.

Dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.3 bilion, petak tanah baharu itu di­sasarkan untuk dilancarkan pada 2026 dan akan menyumbang kepada pendapatan kumpulan dalam tempoh enam tahun berikutnya.

Ia selari dengan langkah Gamuda Land yang terus memberi tumpuan kepada peluang bernilai tinggi baik di Malaysia mahupun di luar negara terma­suk Vietnam, Australia, Singapura dan United Kingdom.

Wai Lune menjelaskan, pelaburan baharu ini mewakili pendekatan strategik kumpulan untuk mewujudkan sinergi bagi kedua-dua Gamuda Gardens dan petak baharu ini kerana kedua-dua pembangunan akan disambungkan melalui jalan hutan sepanjang satu kilometer di mana orang ramai boleh berjalan, berbasikal atau memandu merentasi kedua-dua pembangunan.

“Kami percaya dengan perancangan yang baik, kami boleh memanfaatkan kekuatan kedua-dua pembangunan ini,” ujarnya.

Jelasnya, seperti semua pembangunan Gamuda Land, kemampanan adalah kunci kepada pelan induknya di mana rumah-rumah tersebut akan direka bentuk dengan konsep biofilik, mempunyai kaitan dengan alam semula jadi dan dibina menggunakan kaedah pembinaan mampan.

“Memanfaatkan kepakaran Gamuda Engineering, 100 peratus pembangunan masa depan kami akan dibina menggunakan sistem bangunan perindustrian digital generasi akan datang (IBS) yang memberikan kualiti unggul berbanding kaedah pembinaan konvensional dan mewakili kaedah pembinaan lebih mampan.

“Menggunakan IBS digital generasi seterusnya akan membantu mengurangkan 40 peratus jejak karbon semasa pembinaan dan membolehkan kami mengurangkan kebergantungan kami kepada pekerja asing sebanyak 55 peratus,” katanya.

Pada masa ini, baki simpanan tanah Gamuda Land adalah 3,344 ekar berjumlah RM55.3 bilion dalam GDV dengan jumlah tempoh pembangunan selama 15 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN