
PADA artikel sebelum ini, saya telah menampilkan kewujudan motosikal-motosikal skuter yang dikuasakan oleh kuasa elektrik sepenuhnya untuk pasaran tempatan. Beberapa hari selepas itu, saya telah mendapat jemputan untuk menyertai sesi pandu uji berkelompok bersama pengamal media permotoran tempatan yang lain.
Ebixon Tailg (singkatan bagi nama pembuat motosikal ini iaitu DONGGUAN TAILING ELECTRIC VEHICLE) yang telah dipasarkan oleh Ni Hsin EV Tech Sdn. Bhd., memperkenalkan model BOLD dan TORQ ketika perlancarannya pada 22 November 2022, namun hanya mampu menyediakan unit-unit untuk diuji pada 18 Januari lalu.
Peluang untuk menunggang uji jentera-jentera elektrik yang dikatakan bakal menggantikan kenderaan-kenderaan berkuasa bahan bakar petroleum, sudah tentu tidak dilepaskan.
FAKTA TUNGGANG UJI
Saya merangkumkan kedua-dua ujian terhadap dua model yang diperkenalkan iaitu model Bold yang lebih menyerupai kebanyakan skuter di pasaran dan model Torq yang pada saya, lebih menyerupai sebuah skuter elektrik yang selalunya dibelikan untuk warga emas atau tunggangan ibu-ibu untuk bergerak dalam kawasan perumahan (untuk ke kedai-kedai berdekatan atau ke masjid).
Pemilihan lokasi untuk menguji model-model pasaran mereka ini adalah di tengah-tengah kotar raya Kuala Lumpur. Laluan ujian melalui Jalan Imbi menuju ke Bukit Antarabangsa dengan melalui Jalan Tun Razak, lebuhraya bertingkat AKLEH, MRR2 seterusnya mendaki jalan bukit naik ke puncak panorama Bukit Antarabangsa, dan bertukar model untuk ditunggang pulang kembali ke tempat permulaan.
Saya telah memilih untuk menunggang model Bold terlebih dahulu bagi perjalanan ke Bukit Antarabangsa dan Torq sebagai jentera tunggangan pulang ke destinasi permulaan.

TAILG BOLD
PENAMPILAN DAN TUNGGANGAN
Kalau tidak diberitahu bahawa ia adalah sebuah skuter kuasa elektrik sepenuhnya, anda sudah tentu menyangka ia sebuah skuter biasa yang seringkali dilihat atas jalan raya-jalan raya tempatan. Malah, ada di antara media yang hadir menyatakan reka bentuknya menyerupai model-model yang biasa mereka lihat.
Tailg Bold ini mempunyai saiz fizikal seakan-akan skuter berkapasiti 150cc, sehinggakan ketika saya mula duduk di atas pelananya dan mula bergerak, saya merasakan seperti menunggang skuter Suzuki V100 yang begitu popular satu masa dahulu. Handel hadapannya yang begitu ringan serta merasakan penyerap hentakan hadapannya lebih menegak dan roda hadapannya lebih dekat kepada bahagian hadapan motor.
Geometri skuter ini ternyata amat bersesuaian menunggang di tengah bandar yang sibuk dan sesak, kerana keupayaan untuk mencelah antara kenderaan sangat mudah dan ringan. Roda hadapan yang hanya bersaiz 13 inci, sementara roda belakang (yang juga adalah hab jenteranya) bersaiz 12 inci.
Bold mempunyai dua bateri yang diletakkan di bawah pelana duduk. Setiap bateri berkuasa 1.5kw dan kami diberitahu bahawa setiap bateri mampu menggerakkannya sejauh 60km. Maka apabila penanda kuasa (seperti penunjuk baki bahan bakar pada motosikal konvensional) menunjukkan baki kuasa bateri yang sudah lemah, anda perlu berhenti di tepi jalan, dan menekan suis ‘circuit braker’ untuk menukar penggunaan bateri kedua pula. Walaupun kedua-dua bateri mampu membawa penunggangnya sejauh 120km, saya rasakan proses ini tidak praktikal. Sepatutnya satu suis boleh digunakan di bahagian handel dan tidak perlu berenti dan menukar peralihan penggunaan bateri secara manual, atau pertukarannya boleh dilakukan secara otomatik.
Apabila menunggang di lebuh raya AKLEH, Bold akan sedikit terasa seperti kurang berkuasa. Walaupun pada meter LCD menunjukkan kelajuan telah mencecah 60km/j, ternyata kelajuan tersebut seperti sudah maksimum untuk motosikal ini. Secara peribadi, untuk sesebuah motosikal yang ingin dimiliki oleh kebanyakan ‘rider’ Malaysia, yang menginginkan motosikal mereka boleh ditunggang untuk kegunaan tugasan, kebolehan mencapai kelajuan sekurang-kurangnya 100km/j adalah seperti satu kemestian pada dekad ini.
Mendaki Bukit Antarabangsa tidak bermasalah untuk tunggangan berseorangan ketika sesi pandu uji ini. Kuasa jentera Bold tidak langsung menunjukkan kesukaran mendaki jalan-jalan bukit yang agak cerun untuk menuju ke destinasi pertama sesi pandu uji kami.
Sistem suspensinya pula adalah antara perkara utama yang mengecewakan saya. Ini kerana, prestasi kedua-dua sistem suspensi depan dan belakang terlalu lembut. Pembekal dan pengedar seharusnya menggantikan sistem-sistem suspensi kepada yang lebih baik, yang sangat mudah untuk diperolehi dalam pasaran tempatan. KYB, Racing Boy atau YSS adalah antara jenama-jenama suspensi yang boleh dikatakan bersesuaian dengan harga berbanding prestasinya.

TAILG TORQ
PENAMPILAN DAN PENUNGGANGAN
Setelah berehat dan mengambil foto, saya telah bertukar jentera Tailg Torq untuk merasai sendiri prestasi keseluruhan versi yang disasarkan untuk bidang penunggangan komersial pula. Torq sudah pasti lebih ‘kosong’ bentuknya sekiranya dibandingkan dengan Bold. Pihak pengedar menyasarkan model ini lebih sesuai digunakan sebagai kenderaan komersial untuk menghantar barangan seperti makanan, dokumen atau kiriman barangan.
Kebolehan perubahan kelajuan maksimum adalah antara faktor pertama yang telah menarik perhatian saya tentang model ini. Berkebolehan untuk menukarkan had lajunya sehingga ke tahap 3 iaitu kelajuan maksima sebanyak 90km/j. Torq ini juga mempunyai gear mengundur untuk memudahkan saat-saat keluar daripada deretan parkir motosikal.
Torq didatangkan dengan hanya satu bateri yang diletakkan juga di bawah pelana. Bateri tunggal ini mampu menggerakkan jentera ini sejauh 100km dengan sekali caj penuh. Begitupun, TORQ boleh dipasang bateri pilihan kedua yang boleh diletakkan ruang khas di bawah papan pemijak kaki, dan ini membolehkan skuter ini mampu bergerak sehingga 200km secara total, menggunakan dua bateri.

KESIMPULAN
Mungkin tidak begitu banyak kelebihan yang ditawarkan oleh kedua-dua model motosikal berkuasa elektrik sepenuhnya ini bagi merendahkan kos dan harga jualannya. Harga bateri yang menjadi sumber kuasa utama ketika ini masih dalam kadar harga jualan yang agak tinggi, walaupun berkebolehan untuk mengecasnya seperti mana-mana alat elektrik iaitu dengan plag tiga pin.
Namun, saya berpendapat sekiranya motosikal-motosikal elektrik sepenuhnya dilihat sebagai satu alternatif atau pengganti motosikal konvensional, sepatutnya motosikal elektrik ini mempunyai ciri-ciri fungsi elektronik yang jauh lebih canggih.
Sebagai contoh, meter pada BOLD hanya menggunakan LCD dan tampak seperti kalkulator model lama. Sementara model TORQ, paparan meter TFTnya yang pelbagai warna, terlihat sebagai satu usaha yang lemah. Selain skrinnya yang agak kecil, malah ada ketika penunggangan sewaktu matahari terik memancar, saya tidak dapat melihat paparan kelajuan pada meter kerana seperti tenggelam dalam silauan matahari.
Sepatutnya motosikal EV mempunyai fungsi-fungsi yang dapat berkait dengan peranti atau handphone, serta berupaya untuk dikawal melalui peranti sahaja dan tidak perlu lagi keperluan kunci fizikal.
Harga pasaran untuk BOLD adalah sekitar RM9,000 dan TORQ pula sekitar RM14,888. Berbanding dengan teknologi yang ditawarkan, saya menjangkakan ianya sukar cemerlang di pasaran. – UTUSAN










