PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan agihan dividen sekitar 4.75 hingga 5.25 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.45 hingga 4.95 peratus Simpanan Syariah untuk 2022, lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, kata penganalisis.
Pada 2021, pengurus dana persaraan itu mengumumkan dividen sebanyak 6.10 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.65 peratus untuk Simpanan Syariah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Fuad Mohamed Berawi berkata, kesan Covid-19 masih lagi menghantui negara dan dunia keseluruhannya, namun ia beransur pulih dengan pembukaan pelbagai sektor ekonomi sepanjang 2022.
Katanya, sentimen pengukuhan ringgit penghujung 2022 dan awal 2023 juga terus memberikan keyakinan kepada pelabur luar dalam jangka pendek.
“Peningkatan ekonomi dunia terutama negara dagangan utama Malaysia iaitu Amerika Syarikat (AS$20.89 trilion), China (AS$14.72 trilion) dan Jepun (AS$5.06 trilion) turut membantu menstabilkan pasaran pelaburan.
“Jika KWSP mengumumkan dividen di antara 5.0 hingga 5.5 peratus bagi kedua-dua simpanan pada tahun 2022, ia masih melepasi paras logik,” katanya.
Beliau berkata, penyumbang kepada dividen tersebut adalah perolehan pendapatan daripada pelaburan kasar yang meningkat sebanyak RM39.31 bilion bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022.
“Walaupun pencapaian tersebut menurun 18 peratus atau RM8.71 bilion berbanding RM48.02 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2021, tetapi pegangan ekuiti tertinggi KWSP dalam kaunter utama masing-masing mencatatkan perolehan terkumpul positif yang signifikan sepanjang suku ketiga 2022.
“Ini termasuk pegangan ekuiti dalam Malaysia Building Society Bhd., RHB Bank, Malaysian Resources Corp Bhd, Bermaz Auto Bhd,, Telekom Malaysia Bhd., Axiata Group Bhd. dan Tenaga Nasional Bhd.,” ujarnya.
Menurutnya, pengurusan dana oleh KWSP berjumlah RM961 bilion dengan pertambahan caruman sehingga September 2022 berjumlah RM63.61 bilion adalah lebih kukuh daripada jangkaan agihan bonus 4.75 hingga 5.25 peratus tersebut.
Mengulas prospek KWSP pada 2023, beliau berkata, ia dijangkakan agak suram berdasarkan ramalan kebanyakan institusi ekonomi dan kewangan dunia yang menjangkakan ekonomi global akan mengalami kelembapan yang menyeluruh dan inflasi lebih tinggi berbanding beberapa dekad lampau.
“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga meramal pertumbuhan ekonomi global pada tahun 2023 jatuh daripada 2.9 kepada 2.7 peratus dengan keseluruhan ekonomi dunia menurun kepada 2.0 peratus.
“Kemampuan KWSP menjana pendapatan yang lebih tinggi pada 2023 dijangka terbatas manakala pulangan dividen dijangka terus menurun disebabkan krisis kos sara hidup, situasi kewangan yang mengetatkan, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan pandemik Covid-19 yang berlarutan dengan penemuan variant baharu,” ujarnya.
KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM39.31 bilion bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022, menurun 18 peratus atau RM8.71 bilion berbanding RM48.02 bilion dicatatkan dalam tempoh sama pada 2021.
Jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi suku ketiga 2022 berakhir 30 September 2022 berjumlah RM12.32 bilion, merosot RM1.65 bilion atau 12 peratus berbanding RM13.97 bilion pada suku ketiga 2021. – UTUSAN










