PETALING JAYA: Berdasarkan data carian platform percutian digital global Agoda, Malaysia muncul sebagai destinasi kedua yang mempunyai carian tertinggi pelancong di Asia sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC), mengatasi Thailand di tempat ketiga.
Jepun muncul sebagai destinasi yang mencatat carian tertinggi, menurut data itu.
Menurut Agoda, tahun ini, data Agoda juga menunjukkan bahawa ramai pelancong yang memilih percutian ke destinasi berhampiran di negara jiran untuk perayaan tersebut.
“Namun begitu, trend ini tidak ketara dalam kalangan pelancong dari China dan Jepun yang lebih menggemari destinasi percutian beriklim panas. Oleh itu, ia melonjakkan Thailand ke tempat #1. Di sebaliknya pula, pelancong Thailand ingin menuju ke Jepun yang beriklim lebih sejuk,” katanya dalam kenyataan.
Data carian Agoda juga mendedahkan pilihan utama dalam tiga pasaran paling popular mengikut volum iaitu Jepun, Malaysia dan Thailand.
Bandar kosmopolitan merupakan tarikan utama di Jepun dengan Tokyo, Osaka dan Fukuoka merupakan tiga destinasi yang mendapat carian tertinggi.
“Dengan tarikan warisan budaya dan suasana kotanya yang meriah, Kuala Lumpur muncul tempat paling popular di Malaysia, diikuti Melaka dan Pulau Pinang.
“Di Thailand pula, Bangkok berjaya menduduki tempat pertama, diikuti oleh bandar pesta pantai Pattaya dan Chiang Mai yang kaya dengan budaya,” katanya.
Data berdasarkan data carian Agoda dari negara pasaran asal di Asia bagi tempoh 8 sehingga 15 Januari 2023, yang sebanding dengan tarikh daftar masuk Tahun Baharu Cina pada 21 sehingga 24 Januari 2023.
Mengulas data itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agoda, Omri Morgenshtem berkata, ia merupakan satu perkembangan yang sangat baik di mana kita dapat menyaksikan kembalinya keyakinan pelancong terhadap percutian antarabangsa terutamanya dalam pasaran Jepun, Korea dan Taiwan yang dibuka baru-baru ini.
“Kami mempunyai jangkaan terhadap lonjakan dalam perjalanan dari China apabila Thailand, Macau, Taiwan, Hong Kong dan Jepun kembali dalam senarai destinasi idaman bagi Tahun Baharu Cina tahun ini.
“Namun ,ia mungkin terlalu awal untuk menjangkakan pemulihan yang sepenuhnya, memandangkan cabaran yang melibatkan kapasiti dan harga penerbangan,” katanya. – UTUSAN










