PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengkaji semula Dasar Perumahan Negara (DPN) berdasarkan rangkuman intisari MADANI.
KPKT dalam satu kenyataan berkata, kementerian percaya sasaran menyediakan 500,000 buah rumah mampu milik menjelang 2025 akan berjaya melalui pembangunan dasar perumahan baharu dan perancangan yang lebih teratur.
Jelasnya, ia juga akan melibatkan kerjasama semua agensi perumahan di peringkat Persekutuan, negeri dan pemaju swasta.
“KPKT bersedia mengkaji inisiatif sedia ada, mencari peluang insentif baharu dan memudahcara semua bentuk prosedur dalam kelulusan pemajuan perumahan.
“Ia dapat memberi ruang kepada pemaju perumahan swasta bergiat aktif untuk menyediakan perumahan mampu milik yang berkualiti dan selesa untuk rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, KPKT juga sedang mengkaji DPN bagi melihat sektor perumahan secara menyeluruh khususnya dalam meningkatkan pelaksanaan rumah mampu milik dan penyediaan perumahan awam.
Katanya, beberapa contoh DPN dari negara luar akan dilihat KPKT termasuk negara jiran seperti Singapura terutamanya dalam perumahan awam dan mampu milik.
“Ini berdasarkan kejayaan Singapura dalam penyediaan perumahan awam atau sosial untuk 80 peratus rakyatnya yang layak dan memerlukan tanpa mengira bangsa.
“Ini membolehkan DPN yang baharu kelak mengambil kira pelbagai keperluan rakyat mengikut acuan budaya, adat resam, agama dan berbilang kaum di Malaysia,” katanya.
Menurut KPKT, kementerian juga bercadang mengadakan sesi perkongsian ilmu bersama pakar perumahan daripada Singapura dengan mengambil kira aspek pengurusan perumahan mampu milik negara berkenaan.
“Ini bertujuan bagi mengukuhkan strategi pembangunan perumahan negara berpaksikan kerangka dasar MADANI yang menerapkan nilai kemapanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,” katanya. – UTUSAN










