Bursa Malaysia catat jumlah dagangan tertinggi

Bursa Malaysia catat jumlah dagangan tertinggi

BURSA Malaysia Derivatives mencatat rekod dagangan tertinggi tahun lalu, sebahagian besar disumbang oleh institusi asing. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Derivatives Berhad (Bursa Malaysia Derivatives) mencatatkan jumlah dagangan tahunan tertinggi sepanjang masa untuk semua produknya, termasuk untuk Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) pada 2022.

Bursa Malaysia dalam kenya­taan berkata, sebanyak 19.1 juta kontrak diniagakan, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 18.4 juta kontrak pada 2021, naik 3.7 peratus.

Katanya, bagi FCPO pula, sejumlah 16.2 juta kontrak diniagakan pada 2022, memecahkan rekod sebelumnya sebanyak 15.6 juta, meningkat 3.8 peratus.

“Jumlah dagangan yang lebih tinggi sebahagian besarnya disumbangkan oleh institusi asing yang menyumbang 50 peratus daripada volum dagangan. Tambahan pula, penyertaan mereka juga telah meningkat sebanyak 27 peratus daripada 2021.

“Pertumbuhan kukuh ini me­nunjukkan keyakinan berterusan daripada komuniti perda­gangan global dalam FCPO sebagai alat pengurusan risiko yang berkesan dalam masa turun naik,” katanya.

Bagi memastikan pertumbuhan volum dagangan yang positif ini berterusan, Bursa Malaysia Derivatives berkata, pihaknya komited untuk membangunkan dan meningkatkan penawaran produknya bagi memenuhi permintaan pelabur dan lindung nilai.

Menurutnya, perkara tersebut telah membawa kepada kejayaan pelancaran Kontrak Niaga Hadapan Emas (FGLD) yang diubah suai pada September 2022 dan kontrak niaga hadapan berasaskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) pertama pada

Disember 2022, iaitu Kontrak Hadapan Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (“F4GM”) yang diselesaikan secara tunai.

Tambahnya, Bursa juga me­nyaksikan dagangan aktif semasa Sesi Dagangan Selepas Waktu Dagangan (T+1), dengan jumlah 1.49 juta kontrak didagangkan pada 2022 semasa Sesi T+1, yang berjumlah lapan peratus daripada jumlah dagangan siang dan malam.

“Jumlah dagangan harian tertinggi semasa Sesi T+1 dica­tatkan sebanyak 19,065 kontrak pada 1 Disember 2022,” ujarnya.

Pemangku Pengarah Bursa Malaysia Derivatives, Mohd. Saleem Kader Bakas berkata, pihaknya gembira melihat penyer­taan yang lebih tinggi daripada peserta pasaran global dalam memperdagangkan produknya.

“Kami akan terus menambah baik ekosistem pasaran derivatif Malaysia dan mengukuhkan penawaran kami dengan produk inovatif untuk mewujudkan lebih banyak peluang kepada pelabur untuk mempelbagaikan dan melindungi nilai portfolio mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN