PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan semula empat ahli Majlis Penasihat Shariah (MPS) untuk tempoh tiga tahun dan dua ahli baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Januari 2023.
Bank pusat dalam kenyataannya berkata, pelantikan ahli-ahli MPS tersebut mengikut peruntukan seksyen (53)(1), Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Katanya, ahli-ahli yang dilantik semula adalah Profesor Universiti Kewangan Islam Global (Inceif) dan Pengerusi baharu MPS, Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim dan Profesor, Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Timbalan Pengerusi baharu MPS, Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali.
Turut dilantik semula adalah Pengarah Eksekutif, Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA INCEIF, Prof. Datuk Dr. Mohamad Akram Laldin dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Haji Lembaga Tabung Haji, Burhanuddin Lukman.
“Sementara itu, ahli baharu yang dilantik adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh dan Ketua Pengurusan Syariah, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Dr. Ahmad Basri Ibrahim.
“Dengan pelantikan semula dan baharu ini, MPS dibarisi sembilan orang ahli yang berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang syariah, ekonomi Islam, undang-undang dan kewangan,” katanya.
Selain itu, ahli-ahli lain yang sedia ada terdiri daripada Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir; Pengarah Jaminan Kualiti Penyelidikan dan Penerbitan, Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA, INCEIF, Dr. Marjan Muhammad serta Pengasas dan Rakan Kongsi Kanan, Zainal Abidin & Co, Zainal Abidin Jamal.
BNM berkata, MPS merupakan badan berautoriti tertinggi bagi menentukan hukum syarak berhubung perniagaan kewangan Islam di Malaysia, memainkan peranan penting untuk menggalakkan kepastian pada syariah serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam.
“MPS juga berfungsi sebagai penasihat kepada BNM mengenai sebarang isu syariah yang berkaitan dengan perniagaan kewangan Islam, aktiviti atau transaksi kewangan Islam yang dijalankan oleh BNM.
“Keputusan syariah yang dibuat oleh MPS menjadi sumber rujukan institusi kewangan Islam bagi memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi prinsip syariah.
“Selain itu, keputusan MPS juga boleh digunakan sebagai rujukan mahkamah dan penimbang tara. MPS telah mengadakan mesyuarat pertama bagi tahun 2023 pada hari ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, BNM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar dan Datuk A. Aziz A. Rahim yang telah menyempurnakan tempoh perkhidmatan mereka sebagai ahli MPS.
Menurut bank pusat, Mohd. Daud dilantik sebagai ahli MPS pada 1 Mei 1997 dan telah memegang jawatan sebagai Pengerusi MPS sejak 27 Disember 2006, manakala A. Aziz mula dilantik sebagai ahli MPS pada 1 November 2016.
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, MPS memainkan peranan penting dalam memajukan aspirasi kewangan Islam di Malaysia.
“Sepanjang tempoh ini, Mohd Daud dan A. Aziz telah memberikan sumbangan yang sangat besar dalam proses tersebut, dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih terhadap komitmen dan dedikasi mereka yang tidak berbelah bahagi,” tambahnya. – UTUSAN










