PUTRAJAYA: Bajet 2023 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim 24 Februari ini, dijangka masih fokus kepada projek berimpak tinggi.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika ditanya mengenai apakah bentuk pembaharuan dalam bajet itu terutama untuk dinikmati rakyat.
“Bagi kementerian saya pula, kita komited mengekalkan paras perbelanjaan berhemah namun akan meneruskan banyak projek berimpak tinggi,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan laman OpenDOSM NextGen terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia yang disaksikan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin di sini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan sudah membentangkan Bajet Mini 2023 pada 20 Disember lalu untuk perbelanjaan perkhidmatan yang hanya berjumlah RM107.7 bilion.
Mengulas lanjut, Rafizi menambah, pembentangan Bajet 2023 dijangka menjadi fokus kerana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 mungkin diumumkan sekitar tarikh tersebut.
“Saya optimis KDNK bagi tahun lepas adalah positif malah momentum itu akan berterusan sepanjang tahun ini meskipun penganalisis unjur berlaku kemelesetan global,” jelasnya.
Beliau merujuk kejayaan Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi terpantas di rantau ASEAN pada suku ketiga 2022 lalu dengan KDNK amat baik iaitu sebanyak 14.2 peratus.
Walau bagaimanapun, beliau menjangkakan Perdana Menteri akan cuba memberi signal bidang yang bakal diberikan tumpuan oleh pihak kerajaan bagi memacu pantas ekonomi.
Pada masa sama, Anwar dijangka mengekalkan jumlah bajet yang telah pun dibentangkan Menteri Kewangan terdahulu, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, namun dengan sedikit penyelarasan sesuai situasi semasa.
Keadaan itu kemungkinan bakal menyaksikan peruntukan baki RM264.6 bilion berbanding keseluruhan RM373.3 bilion setelah ditolak amaun daripada Bajet Mini 2023 sebelum ini..
Langkah itu ujar Rafizi, perlu dilakukan kerana kerana kerajaan juga menjangkakan perolehan negara diunjurkan menguncup sedikit disebabkan kekurangan kutipan cukai korporat.
Justeru, pihak kerajaan dijangka memberikan tumpuan kepada projek pembangunan yang memberi kesan gandaan bukan sahaja kepada rakyat tetapi seluruh negara menerimanya. – UTUSAN










