Bajet 2023 diteliti semula – PM

Bajet 2023 diteliti semula – PM

ANWAR Ibrahim berucap pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 di Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bajet 2023 akan diteliti semula dari semua aspek dan tidak terikat dengan belanjawan yang lalu walaupun cadangan yang dibuat terdahulu, diambil kira.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini adalah belanjawan baharu de­ngan beberapa pengubahsuaian dilakukan.

“Ini belanjawan baharu sama sekali, terasnya, dasarnya, pengubahsuaiannya walaupun angka-angka dan pendapatan tidak boleh ubah banyak,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Dialog Belanjawan 2023 di sini, semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beberapa perkara seperti soal gender, orang kurang upaya (OKU) dan pertanian hijau antara yang dikemukakan untuk diberikan keutamaan tambahan dalam Bajet 2023.

Menurut beliau, ia termasuk memberi penekanan kepada tiga bidang iaitu digital dan teknologi, tenaga boleh diperbaharui dan pertanian serta industri yang mempunyai keupayaan eksport.

Ditanya perkembangan subsidi bersasar, Anwar berkata, tindakan sudah diambil, contohnya tarif elektrik bersasar kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, pertanian serta industri kecil dan sederhana (IKS).

“Sudah ada tindakan (subsidi bersasar) walaupun pentadbiran dahulu kata naik tarif tapi kita batal cadangan itu dan guna pendekatan baharu. Ini terpakai dan kali ini kita serius melihat kepada laporan Ketua Audit Negara tentang ketirisan dan kenal pasti masalah supaya dapat penyelesaian,” katanya.

Majlis Dialog Belanjawan 2023 merupakan wadah antara kerajaan dengan pihak ber­ke­pentingan yang terdiri daripada agensi kerajaan, sektor swasta, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dalam proses merangka belanjawan negara.

Lebih 200 peserta mengemukakan cadangan masing-masing berhubung langkah-langkah sesuai untuk dipertimbangkan dalam penyediaan Bajet 2023 selaras dengan tema “Membangun Malaysia Madani”.

Ia dirancang dan digubal berdasarkan kerangka Madani yang menghimpunkan enam rukun iaitu pembangunan mampan, negara yang aman makmur, cergas berdaya cipta, negara yang amanah, masyarakat Malaysia yang dibina dengan nilai hormat dan negara yang mendukung nilai ihsan dan rahmah.

Antara cadangan ialah kesaksamaan gender di dalam peluang pendidikan dan pekerjaan, kesejahteraan keluarga dan pemerkasaan NGO.

Selain itu, cadangan untuk mengupaya PKS, merancakkan pertanian bandar sebagai penyumbang kepada sekuriti makanan dan kelestarian alam sekitar juga dibincangkan.

Kementerian Kewangan juga melancarkan Portal Cadangan Belanjawan 2023 iaitu salah satu usaha kerajaan dalam menjadikan proses penyediaan belanjawan tahunan lebih telus dan inklusif yang mengalu-alukan penglibatan semua lapisan rak­yat.

Bajet 2023 asalnya dibentangkan Menteri Kewangan terdahulu, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 7 Oktober 2022 dan bakal dibentangkan semula pada 24 Feb­ruari depan.

Ia susulan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan 2023 itu tidak sempat diluluskan Dewan Rakyat apabila Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022.

Tengku Zafrul sebelum ini membentangkan bajet tahunan tersebut dengan peruntukan bagi tahun ini diunjurkan sebanyak RM373.3 bilion iaitu pa­ling besar dalam sejarah.

Walau bagaimanapun, ia ti­dak mengambil kira pertumbu­han Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga yang mencatatkan angka terbaik dan mencecah 14.2 peratus.

Anwar yang mengetuai Kerajaan Perpaduan sudah membentangkan Bajet Mini 2023 pada 20 Disember lalu untuk perbelanjaan perkhidmatan berjumlah RM107.7 bilion.

Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 13 Februari ini selama 29 hari, bermula dengan titah ucapan diraja mesyuarat pertama oleh Yang di-Pertuan Agong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN