KUALA TERENGGANU: Anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, TDM Bhd. (TDM) mencatat pendapatan RM153.3 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September iaitu peningkatan 16 peratus daripada RM132.1 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamarudin berkata, pencapaian itu disumbang sektor penjagaan kesihatan yang mencatat kenaikan pendapatan 38 peratus kepada RM78.1 juta berbanding RM56.4 juta tahun sebelumnya.
Menurut beliau, pendapatan TDM melalui sektor perladangan pula tidak banyak berubah iaitu RM75.1 juta daripada RM75.7juta pada suku ketiga tahun lalu.
“Peningkatan pendapatan melalui sektor penjagaan kesihatan didorong pertambahan bilangan pesakit dalam sebanyak 65 peratus dan pesakit luar, 13 peratus.
“Perkhidmatan penjagaan kesihatan yang telah diperluas seperti Pusat Mata KMI Medical Centre Kuantan menunjukkan prestasi baik serta menyumbang kepada keputusan kewangan secara keseluruhan.
“Bagi mengurangkan impak inflasi, TDM akan terus menumpukan kepada kecekapan operasi dan meminimumkan kos kepada pesakit,” ujarnya menerusi satu kenyataan.
Tambah Najman lagi, kumpulan itu menghadapi cabaran dalam sektor perladangan apabila berhadapan dengan harga minyak sawit mentah (CPO) dan pengeluaran yang lebih rendah.
Katanya, dalam tempoh suku ketiga tahun ini, TDM mencatat penurunan jualan CPO serta kadar pengekstrakan minyak (OER) susulan pengeluaran buah tandan segar kelapa sawit yang lebih rendah.
“Harga minyak sawit mula menunjukkan tanda-tanda akan stabil berikutan peningkatan penggunaan global, rekod eksport, penurunan stok di Indonesia dan kekurangan tenaga buruh.
“Namun cabaran operasi masih kekal menjadi kebimbangan apabila bilangan pekerja asing ke Malaysia masih perlahan dengan musim puncak buah tandan segar kelapa sawit hampir berakhir,” katanya. – UTUSAN










