PETALING JAYA: Keputusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengekalkan tarif elektrik bagi pengguna domestik dan industri kecil dan sederhana (IKS) adalah permulaan kepada subsidi bersasar yang dijanjikan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, keputusan untuk menyemak tarik elektrik membabitkan syarikat multinasional yang mengeksport produk ke luar negara menunjukkan komitmen kerajaan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Katanya, Anwar dan menteri kabinet di bawah kerajaan perpaduan mempraktikkan unsur kesederhanaan yang mana mengambil kira kos sara hidup rakyat dan dalam masa sama berwaspada dengan kemampuan kos perbendaharaan.
“Melalui cara ini, rakyat boleh terus menikmati subsidi demi mengawal kos sara hidup dan bergerak ke hadapan. Tetapi syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional antarabangsa (MNC) yang dilihat berkemampuan berdasarkan kepada pertumbuhan ekonomi boleh melepaskan subsidi.
“Mungkin subsidi itu tidak dilepaskan secara pukal tetapi secara berperingkat. Dari satu sudut, kerajaan membantu rakyat dari segi sara hidup dan pada masa yang sama berundur kesederhanaan untuk memastikan kelestarian ekonomi,” katanya.
Minggu lalu, Anwar dalam satu sidang akhbar memberi jaminan bahawa kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan tarif elektrik bagi pengguna domestik dan PKS.
Bagaimanapun, subsidi elektrik yang dinikmati oleh syarikat gergasi seperti syarikat multinasional akan disemak semula.
Sementara itu, Baharom tidak menolak peningkatan tarif bagi syarikat gergasi akan memberi impak kepada kos operasi syarikat.
“Namun begitu, melihat kepada pertumbuhan yang semakin rancak terutamanya pada tahun ini, syarikat-syarikat tersebut sepatutnya dapat menyerap kos tersebut tanpa perlu mengalihkan kepada pelanggan.
“Oleh itu, kerajaan harus memastikan bahawa syarikat-syarikat tidak akan mengalihkan kos terbabit kepada rakyat. Jika tidak ia akan backfire,” ujarnya.
Tambah beliau, konsep kesederhanaan tersebut harus diteruskan kepada subsidi yang lain seperti bahan api, petrol, minyak masak dan sebagainya.
“Selepas ini, mungkin dapat dilakukan kepada bahan api yang mana rakyat masih lagi mendapat subsidi petrol tetapi syarikat-syarikat GLC dan MNC sama ada untuk operasi atau kenderaan mereka tidak perlu diberi subsidi,” jelasnya. – UTUSAN










