Sektor penerbangan teruskan trend pemulihan - Utusan Malaysia

Sektor penerbangan teruskan trend pemulihan

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur merupakan antara lapangan terbang yang dikendalikan oleh MAHB. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perkembangan rancak dari segi penyambungan semula laluan dan pengenalan destinasi baharu oleh syarikat penerbangan pada November dan Disember terus menandakan pemulihan bagi sektor penerbangan negara.

Dalam tempoh dua bulan itu, Malaysia Airports mengalu-alukan dua syarikat penerbangan baharu dan menyaksikan penyambungan semula empat perkhidmatan laluan pra-pandemik serta pengenalan satu laluan antarabangsa baharu. 

Selain itu, Emirates (EK) juga telah membawa kembali Airbus A380 yang merupakan pesawat komersial terbesar di dunia untuk mengendalikan laluan Dubai (DXB) – Kuala Lumpur (KUL). 

Malaysia Airports berkata, langkah strategik itu dibuat untuk menampung lebih ramai penumpang kerana A380 mampu mengendalikan dua kali ganda muatan Boeing 777 semasa yang turut digunakan untuk laluan yang sama.

Ujarnya, sebanyak 13,869 pergerakan pesawat direkodkan di KUL pada November, iaitu peningkatan 12 peratus daripada bulan sebelumnya. 

“Faktor penyumbang kepada peningkatan ini termasuk pengenalan syarikat penerbangan tambang rendah China Spring Airlines (9C) di KUL sebagai satu-satunya syarikat penerbangan yang terbang dari Nanning (NNG) sekali seminggu. 

“AirAsia X (D7) turut menyambung semula laluan KUL – Jeddah (JED), penerbangan enam kali seminggu menyediakan pilihan perjalanan mampu milik untuk umat Islam yang ingin menunaikan umrah. 

“Sementara itu, Lapangan Terbang Kuantan (KUA) menyaksikan penyambungan semula operasi Fly Scoot (TR) bagi laluan Singapura (SIN) – KUA. Perkhidmatan mingguan sebanyak tiga kali ini juga menandakan penerbangan antarabangsa pertama lapangan terbang selepas kehadiran wabak,” menurut kenyataan.

Perkembangan positif ini berterusan sehingga Disember dengan pengenalan syarikat penerbangan tambang rendah terbaharu negara, MYAirline (Z9) yang terbang dari KUL ke Kota Kinabalu (BKI), Langkawi (LGK), Kuching (KCH), Kota Bharu (KBR) dan Pulau Pinang ( PEN) setiap hari. 

Terdapat juga penyambungan semula laluan antarabangsa seperti D7 yang menyediakan perkhidmatan laluan KUL – Taipei (TPE) tiga kali seminggu dan Cathay Pacific (CX) bagi laluan Hong Kong (HKG) – Pulau Pinang (PEN) tiga kali seminggu. 

Selain itu, petanda selanjutnya yang menyumbang kepada pemulihan permintaan perjalanan udara boleh dilihat daripada pengenalan AirAsia (AK) perkhidmatan penerbangan SIN – Sibu (SBW) empat kali seminggu pada bulan ini.

Jelas kenyataan, berkenaan dengan pergerakan penumpang bulanan, operasi Malaysia merekodkan 2.23 juta penumpang antarabangsa pada November, peningkatan 5.9 peratus daripada bulan sebelumnya. 

“Pergerakan penumpang domestik mencatatkan penurunan sebanyak 11.5 peratus kepada 2.93 juta penumpang menjadikan jumlah pergerakan penumpang di Malaysia kepada 5.17 juta. 

“Sebagai satu kumpulan, Malaysia Airports mencatatkan sejumlah 7.84 juta penumpang dengan aset Turkinya, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen merekodkan 2.66 juta penumpang bagi bulan itu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya