PETALING JAYA: Sime Darby Property (SDP) Berhad menjangka momentum jualan Kumpulan itu akan berterusan sehingga ke tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, namun lemah disebabkan ketidaktentuan ekonomi global pada tahun depan.
Pengarah Urusannya, Datuk Azmir Merican berkata, momentum jualan akan tetap kukuh pada tahun depan, tetapi ia mungkin tidak setinggi yang direkodkan pada tahun kewangan 2022.
Kata beliau, sejajar dengan jangkaan momentum jualan yang lebih lemah itu, sasaran jualan setahun penuh Sime Darby Property untuk tahun kewangan akan datang juga lebih rendah daripada pencapaian tahun kewangan 2022.
“Apabila masuk tahun baharu, kami akan mempunyai sasaran jualan. Namun, ia perlu diluluskan secara dalaman terlebih dahulu, jadi saya tidak boleh berkongsi maklumat itu buat masa ini.
“Apa yang pasti, ia akan lebih rendah daripada apa yang dicapai pada tahun ini,” katanya pada sidang akhbar taklimat keputusan suku ketiga tahun kewangan 2022 Kumpulan, yang diadakan secara maya, semalam.
Sime Darby Property mencapai jualan sebanyak RM2.7 bilion dalam sembilan bulan berakhir 30 Sept 2022, mengatasi sasaran jualan tahun kewangan 2022 sebanyak RM2.6 bilion. Ia peningkatan sebanyak 43 peratus tahun ke tahun daripada RM1.9 bilion yang dicapai dalam tempoh sama pada tahun kewangan 2021.
Mengulas lanjut, Azmir memberitahu, pada tahun depan, Kumpulan akan menghadapi tiga cabaran utama iaitu kekurangan tenaga buruh yang berterusan, harga bahan binaan yang tinggi serta kitaran kenaikan kadar faedah.
Kata beliau, memang sudah ada pekerja yang masuk, tetapi ia mengambil masa untuk keseluruhan rantaian nilai pulih dan meningkat semula.
Tambah beliau, begitu juga harga bahan binaan yang dilihat sudah agak stabil, namun persekitaran kadar faedah yang meningkat di seluruh dunia akan menyebabkan harga barang import Kumpulan turut meningkat.
“Bagaimanapun, satu berita yang baik adalah Pilihan Raya Umum Ke-15 sudah berakhir dan apabila negara menjalankan tugas dan memberi tumpuan kepada perkara yang betul, ekonomi kita sepatutnya akan menjadi lebih positif.
“Jika dapat melakukannya dengan baik, pasti kita akan dapat mengatasi dan menguruskan cabaran pada 2023 dengan baik,” katanya. – UTUSAN










