PETALING JAYA: Ringgit terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila ditutup lebih tinggi dalam tempoh tiga hari berturut-turut pada 4.3955/4.3850 berbanding 4.4100/4.4200 kelmarin.
Bagaimanapun, Bursa Malaysia gagal mengekalkan keuntungannya sejak dua hari lepas apabila FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.71 mata kepada 1,481.80 pada penutup pukul 5 petang.
Prestasi ringgit dan Bursa Malaysia itu turut dikaitkan dengan pengumuman barisan Kabinet baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan situasi global khususnya di Amerika Syarikat.
Menurut penganalisis ekonomi, pengeluaran indeks harga teras perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS, iaitu penunjuk utama arah aliran pembelian dan inflasi merupakan faktor yang memberi rangsangan kepada ringgit yang mengukuh seawal sesi pagi lagi.
“Bagaimanapun, ketidaktentuan politik tempatan yang berlanjutan sementara negara menunggu pengumuman Kabinet baharu telah mendorong pelabur di Bursa Malaysia untuk ‘ketepi’ dahulu,” katanya.
Bursa Malaysia pula, pada sesi dagangan awal, penanda aras FBM KLCI jatuh sebanyak 7.53 mata kepada 1,483.98 daripada penutupan semalam pada 1,491.51 walaupun dibuka 2.15 mata lebih tinggi.
Pada penutup, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 541 berbanding 406, manakala 416 kaunter tidak berubah dan 870 kaunter lagi tidak diniagakan. Jumlah dagangan berjumlah 3.346 bilion bernilai RM2.283 bilion.
Sementara itu, Rakuten Trade Sdn. Bhd. dalam nota penyelidikannya menjangka indeks FBM KLCI berlegar dalam julat 1,485 hingga 1,500 mata.
Firma penyelidikan itu berkata, bagi pasaran kewangan, pengimport tempatan, terutamanya syarikat berkaitan produk pengguna dan perindustrian akan mendapat manfaat daripada pengukuhan ringgit kepada paras tertinggi hampir enam bulan berbanding dolar AS pada RM4.40 mengambil kira kenaikan kadar faedah yang kurang agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed).
RHB Research dalam nota penyelidikannya pula berkata, walaupun risiko politik domestik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) agak berkurangan, pelabur terus menunggu pembentukan kabinet baharu dan pembentangan semula Bajet 2023.
“Kerajaan perpaduan baharu perlu membuktikan keupayaannya untuk bekerjasama. Kami fikir subsidi dan reformasi fiskal akan menjadi ujian.
“Kehadiran blok Borneo dalam pentadbiran baharu akan menjadi positif untuk program infrastruktur di Malaysia Timur dan kami percaya dengan keseimbangan ini, kini terdapat sebab untuk kurang pesimis,” ujarnya. – UTUSAN










