Rakuten Trade lancarkan dagangan di Bursa Saham Hong Kong - Utusan Malaysia

Rakuten Trade lancarkan dagangan di Bursa Saham Hong Kong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Khidmat dagangan saham asing kendalian Rakuten Trade Sdn. Bhd. (Rakuten Trade) kini akan turut menawarkan pasaran saham kedua iaitu Hong Kong Stock Exchange (HKEX) atau Bursa Saham Hong Kong, yang merupakan pasaran saham kelima terbesar di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Rakuten Trade, Kazumasa Mise berkata, pelancaran tersebut memang tepat pada masanya kerana pasaran Hong Kong dijangka pulih dan kembali rancak memandangkan terdapat tanda-tanda China akan beralih daripada dasar Covid sifar.

“Malah, indeks penanda aras HKEX melonjak 6.2 peratus pada dua minggu pertama Disember yang menandakan bahawa pemulihan bakal berlaku.

“Sebagai sebuah perniagaan yang berkembang maju sejajar dengan jangkaan pelanggan, pengalaman pelanggan terus diutamakan dalam mandat Rakuten Trade.

“Kemudahan akses kepada pasaran HKEX juga menyokong wawasan Rakuten Trade sejak hari pertama perniagaan iaitu pada Mei 2017 untuk mengurangkan sekatan pelaburan tanpa mengira tahap kekayaan dan pengalaman pelaburan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, pelancaran kedua-dua pasaran Amerika Syarikat (AS) pada Januari tahun ini dan kini HKEX, merupakan dua pasaran utama yang mendapat permintaan paling tinggi daripada pelanggan Rakuten Trade menerusi program Suara Pelanggan (VOC).

“Setakat ini, sambutan terhadap pasaran asing telah mengatasi jangkaan dan terus mencapai pertumbuhan pada kadar yang memberangsangkan,” ujarnya.

Dirangka untuk individu celik digital yang ingin menjalankan urus niaga dagangan sendiri, akses kepada pasaran asing dihubungkan kepada akaun Cash Upfront atau Tunai Terdahulu dan menawarkan ciri-ciri termasuk kelulusan dalam talian sepenuhnya dalam masa satu jam dan yuran broker rendah dari RM7 hingga RM100.

Hanya satu akaun yang diperlukan untuk mengakses ketiga-tiga pasaran iaitu pasaran Malaysia, AS dan kini HKEX dengan pilihan bagi penjelasan mata wang pasaran tempatan.

Lebih 2,500 syarikat tersenarai di HKEC dan baru-baru ini menjadi pilihan yang diminati pelabur Malaysia yang berhasrat melabur di luar sempadan Malaysia. 

HKEX menempatkan syarikat-syarikat tersenarai yang terkenal seperti Alibaba, AIA, Baidu, HSBC dan Meituan dan juga syarikat-syarikat Malaysia yang secara kebetulan merupakan segmen syarikat asing kedua terbesar.

Pada 30 November 2022, Rakuten Trade telah mengaktifkan lebih daripada 256,000 akaun perdagangan dan mengendalikan urus niaga yang bernilai lebih RM110 bilion di Bursa Malaysia sejak hari pertama perniagaan, manakala aset pelanggan yang dipegang di bawah Amanah mencecah hampir RM3.6 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN