PETALING JAYA: Petronas dan kontraktor pengaturan petroleum (PAC) dibawahnya merekodkan sejumlah 10 penemuan hidrokarbon di Malaysia sepanjang tahun ini, susulan peningkatan aktiviti cari gali di negara ini.
Sebanyak lapan penemuan minyak dan gas telah dibuat di luar pesisir pantai Sarawak, dan masing-masing satu di luar pesisir pantai Sabah dan Semenanjung Malaysia.
Penemuan minyak terbesar telah dibuat oleh Petronas Carigali Sdn. Bhd di telaga Nahara-1 di Blok SK306 dalam wilayah Balingian Sarawak.
Syarikat minyak dan gas negara itu memaklumkan, penemuan juga dibuat di wilayah Luconia Tengah, Luconia Barat dan Baram Sarawak yang merupakan antara lembangan paling prolifik di Malaysia dan menempatkan banyak medan gas di negara ini.
“Di Central Luconia, Sarawak Shell Berhad membuat penemuan di telaga Inai-1 dan Temu-1 di Blok MLNG, manakala Mubadala Energy menemui lebih banyak gas di Blok SK320 di telaga Cengkih-1.
“Di wilayah Luconia Barat, ConocoPhillips menggerudi tiga telaga penerokaan di Blok WL4-00 dan menemui gas di telaga Gagau-1 manakala telaga Salam-3 dan Benum-2 mengesahkan lanjutan pengumpulan minyak dan gas di blok sesar bersebelahan.
“Sementara itu, di wilayah Baram yang telah matang, PTTEP HK Offshore Limited membuat satu lagi penemuan gas di Blok SK410B melalui telaga Paprika-1, yang mana Lang Lebah gergasi itu juga ditemui pada 2019,” menurut kenyataan.
TotalEnergies EP Malaysia turut membuat penemuan minyak dan gas di perairan ultra dalam Sabah di telaga Tepat-2 di Blok N dalam wilayah Sabah Trough yang sedang berkembang, meneruskan penemuan minyak dan gas terdahulu di Tepat-1 pada 2018.
Dalam pada itu, di luar pantai Semenanjung Malaysia pula, Hess EP Malaysia B.V. menemui takungan gas baharu di telaga Bergading Deep-4 di Blok PM302 dalam Lembangan Melayu Utara.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata, 2022 merupakan tahun yang baik untuk penerokaan di Malaysia.
“Saya gembira dengan peningkatan aktiviti penerokaan di mana sebanyak 16 telaga telah siap dengan dua lagi sedang berjalan, sekali gus menggandakan angka dicatat pada 2021. Nisbah kejayaan 60 peratus kami mengesahkan sifat prolifik lembangan Malaysia.
“Kebanyakan penemuan boleh menjana pendapatan dengan cepat pada kos yang lebih rendah memandangkan ia berdekatan dengan rangkaian luas infrastruktur sedia ada.” ujarnya. – UTUSAN










