Peluang menyebarkan syiar kewangan Islam - Utusan Malaysia

Peluang menyebarkan syiar kewangan Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkara pertama yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW sebaik sahaja baginda tiba dalam perjalanan hijrah agung dari kota Mekah ke kota Madinah, adalah membina dan membangunkan Masjid Nabawi. Masjid tersebut, bukan sahaja sekadar tempat menunaikan ibadah solat, malah dijadikan pusat pentadbiran utama dan pusat kecemerlangan bagi hal ehwal ajaran Islam. Usaha dan pengalaman baginda Rasulullah dalam menyampaikan ajaran Islam di Mekah selama 13 tahun sebelum itu menjadi asas dan teras utama aktiviti-aktiviti di masjid tersebut. Dengan terbinanya masjid ini, penzahiran syiar Islam telah dapat diperkukuhkan seperti amalan laungan azan. Selain itu, usaha penyebaran ajaran Islam dengan lebih luas, tuntas dan tersusun juga telah dirancang dan dilancarkan berpaksikan masjid Nabawi sebagai pusat kecemerlangan Pentadbiran Islam pada waktu itu. Berkat hasil usaha baginda Rasulullah ini, ajaran Islam telah berjaya disampaikan ke serata pelusuk dunia termasuk di Malaysia.

Kini, Malaysia adalah sebuah negara Islam dengan masyarakat majmuk yang terdiri dari berbilang bangsa. Agama Islam pula diangkat secara khusus di dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan sebagai agama persekutuan. Atas dasar ini dan mengambil kira keperluan masyarakat muslimin, antara langkah yang telah dilaksanakan pihak kerajaan adalah mewujudkan industri kewangan Islam. Dengan kewujudan dan perkembangan industri ini saban tahun, telah membuka ruang kepada masyarakat Muslimin untuk melaksanakan urusan dan memenuhi matlamat kewangan mereka mengikut landasan yang ditetapkan syarak dan berupaya mengelakkan unsur-unsur yang ditegah seperti riba’. 

Setelah hampir 40 tahun, tawaran produk dan perkhidmatan kewangan Islam di Malaysia, sama ada dalam bentuk penawaran simpanan, pembiayaan, pelaburan dan perlindungan adalah antara yang diperakui lengkap dan menyeluruh bagi memenuhi keperluan kewangan perseorangan dan perniagaan. Ia juga disokong oleh rangka perundangan yang mampan dan terkehadapan serta dikawal selia dengan sangat baik oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC). 

BNM dan SC juga turut memainkan peranan dalam usaha pembangunan dan perkembangan industri kewangan Islam. Antara usaha bersama BNM dan SC adalah mewujudkan inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC) yang dilancarkan pada 2006. Ia meletakkan matlamat ke arah menjadikan Malaysia sebagai pusat penawaran produk dan perkhidmatan kewangan Islam berlandaskan mata wang antarabangsa selain menyasarkan pemegang taruh tempatan dan antarabangsa. Hasil usaha ini, antaranya, telah meletakkan Malaysia di kedudukan pertama bagi penerbitan sukuk di peringkat dunia. Pada 2021, jumlah keseluruhan terbitan sukuk global adalah sebanyak AS$188 billion atau RM860 billion dan 41 peratus daripadanya diterbitkan di Malaysia. 

Semasa dilancarkan 16 tahun lalu, MIFC diterajui oleh sebuah Jawatankuasa Eksekutif (MIFC Exco) yang dipengerusikan oleh Gabenor BNM dan dianggotai oleh 28 ahli termasuk Pengerusi SC. MIFC Exco bertanggungjawab menetapkan arah tuju strategi industri kewangan Islam Malaysia dan pelaksanaannya disokong kepimpinan industri kewangan Islam. Namun, selaras dengan pendirian untuk memberi ruang kepada pemegang taruh untuk memainkan peranan lebih luas dalam agenda pembangunan industri, MIFC baru-baru ini telah diberikan nafas baharu dan dilancarkan semula. Semasa pengumuman tersebut dibuat, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus telah menyatakan yang industri kewangan Islam di Malaysia telah mencapai tahap kematangannya dan pihak industri kini telah bersedia untuk menerajui agenda MIFC. 

MIFC kali ini diterajui oleh Majlis Kepimpinan MIFC, dengan dipengerusikan oleh Tan Sri Azman Mokhtar dan dianggotai oleh ahli-ahli korporat serta pegawai-pegawai kanan BNM dan SC. Pemain industri kini diberikan amanah dan peluang untuk menerajui MIFC. Perkembangan ini adalah satu pengiktirafan dan kepercayaan tinggi kepada pemegang taruh industri untuk menggalas usaha menerajui MIFC. Walaupun Majlis Kepimpinan MIFC telah ditubuhkan, penglibatan pihak industri terutamanya dalam kalangan kepimpinan ahli-ahli Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) and Persatuan Takaful Malaysia (MTA) amat diperlukan dalam menggembleng tenaga bagi menjayakan agenda MIFC kali ini. 

Pada peringkat ini, MIFC menyasarkan wawasan untuk meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai gerbang kewangan Islam yang akan menghubungkan peluang pasaran Asia and OIC dengan perniagaan, pelabur dan pihak berkepentingan di seluruh dunia. Jika mencontohi Rasulullah ketika baginda membangunkan Masjid Nabawi, kepimpinan industri kewangan Islam Malaysia dengan segala pengalaman, infrastruktur, instrumen dan kepakaran yang telah dibina berdekad lamanya berlandaskan inisiatif MIFC ini berkeupayaan, berpeluang dan mempunyai amanah untuk menyebarkan syiar kewangan Islam ke serata pelusuk dunia. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. – UTUSAN

 

*Penulis adalah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya