Mymall mahu setanding Shopee, Lazada - Utusan Malaysia

Mymall mahu setanding Shopee, Lazada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menyedari dunia pendigitalan kini menjadi sebahagian daripada perniagaan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) mahu lebih ramai usahawan berdaftar dengan platform digital dikenali sebagai MyMall. 

MyMall yang dilancarkan sejak April tahun lalu merupakan satu inisiatif kementerian bagi memastikan pembangunan ekosistem keusahawanan yang inklusif. 

Platform digital MyMall ini tidak mengenakan sebarang caj tersembunyi kepada usahawan serta pembeli dan pihak kementerian berhasrat ia dapat setanding Shopee dan Lazada.

MyMall menggabungkan empat platform e-dagang iaitu ODELA, Pybli, Angsana Virtual Mall dan Warongku.

Melalui penggabungan itu, pengguna yang terdiri daripada usahawan dan pembeli lebih mudah untuk mencapai perkhidmatan e-dagang di bawah kementerian berkenaan.

Ketua Komunikasi Korporat kementerian itu, Suriani Abdul Rahman berkata, MyMall merupakan platform yang menghimpunkan semua agensi di dalam satu perkhidmatan. 

Jelasnya, usahawan yang berdaftar dengan MyMall akan diberi keutamaan untuk permohonan geran dan dana pembiayaan mereka diluluskan.

“Sudah tentu kita mahu sasar usahawan muda yang bergiat aktif dalam perusahaan secara digital. MyMall hadir tepat pada masanya bagi menyediakan platform berkesan kepada mereka.

“Semua usahawan dijemput melayari laman web MyMall dan tiada kriteria tertentu ditetapkan, terma dan syarat boleh dibaca di laman web tersebut. Setakat ini, kita belum membangunkan aplikasi lagi. Antara barangan yang dijual seperti produk kecantikan, pelamin, spa, pakaian, makanan dan banyak lagi,” katanya. 

Terdahulu, Menteri yang baharu dilantik, Datuk Ewon Benedick, 39, melaporkan tugas rasmi pada 5 Disember lalu. 

Ewon merupakan seorang daripada dua ahli Parlimen dari Sabah yang mengangkat sumpah sebagai menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, selain Datuk Armizan Mohd. Ali sebagai Menteri di Jabatan Perdana menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak). 

Dalam pada itu, pihak kementerian akan terus memperkasakan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan pendigitalan di seluruh negara, terutamanya di Sabah dan Sarawak. 

Menurut Ewon, perkara itu selaras dengan agenda yang dibincangkan pada mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu. 

Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) memberitahu, Anwar meminta jemaah menteri memberikan tumpuan kepada pembangunan Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam agenda Perjanjian Malaysia (MA63). 

“Saya percaya itu menjadi sebahagian daripada fokus kementerian, bukan hanya koperasi tetapi PKS berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perdagangan digital di Sabah dan Sarawak diperkasakan lagi kementerian ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya