Malaysia catat pelaburan diluluskan berjumlah RM193.7 bilion

Malaysia catat pelaburan diluluskan berjumlah RM193.7 bilion

PENGESAHAN Fitch Ratings mencerminkan keyakinan terhadap pentadbiran kerajaan dan kekuatan pemulihan ekonomi Malaysia serta daya tahan negara di tengah-tengah landskap global yang tidak menentu dan sangat mencabar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahap keyakinan pelabur terhadap Malaysia semakin memuncak apabila negara merekodkan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM193.7 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2022, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Katanya, para pelabur terus menunjukkan keyakinan untuk melabur di Malaysia kerana kepimpinan kerajaan baharu memberi tumpuan untuk mengukuhkan pembangunan ekonomi negara dan mengekalkan reputasi Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang stabil.

Jelasnya, Malaysia telah menarik sejumlah RM193.7 bilion (AS$41.7 bilion) pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, sektor perkhidmatan dan sektor utama yang melibatkan 2,786 projek bagi tempoh Januari sehingga September 2022 dan dijangka mewujudkan 98,414 peluang pekerjaan.

“Pencapaian ini merupakan peningkatan 2.5 peratus berbanding RM188.9 bilion (AS$45.1 bilion) pelaburan yang diluluskan pada tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas pencapaian itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kejayaan Malaysia menarik hampir RM194 bilion pelaburan yang diluluskan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini adalah bukti kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan utama di Asia.

Kata beliau, rantaian bekalan yang mantap, struktur kos yang kompetitif, proses operasi perniagaan yang dipermudahkan, inovasi dan keupayaan teknologi canggih, serta bakat tempatan yang terlatih menjadi pemangkin untuk memacu pertumbuhan
ekonomi mampan.

“Memandang ke hadapan, MITI dan agensi-agensinya juga akan memastikan agar peluang pelaburan baharu akan membina kapasiti dan modal insan yang sesuai di dalam industri sasaran bagi membina ekonomi negara secara mampan,” katanya.

Menurut MIDA, Pelaburan Langsung Asing (FDI) kekal sebagai penyumbang utama sebanyak 67.5 peratus atau RM130.7 bilion (AS$28.1 bilion), sementara Pelaburan Langsung Domestik (DDI) menyumbang 32.5 peratus atau RM63 bilion (AS$13.6 bilion).

Jelasnya, ia merupakan peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding FDI yang diluluskan pada tempoh yang sama tahun 2021.

“Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, China mendominasi pelaburan asing sebanyak RM49.2 bilion (AS$10.6 bilion). Ini diikuti oleh Amerika Syarikat (RM16.9 bilion/AS$3.6 bilion), Belanda (RM16.5 bilion/AS$3.6 bilion), Jerman (RM9.2 bilion/AS$2 bilion) dan Singapura (RM8.7 bilion/AS$1.9 bilion),” katanya.

Menurut MIDA, lima negeri telah merekodkan pelaburan diluluskan yang signifikan termasuk Johor (RM63.9 bilion/AS$13.8 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM26.1 bilion/AS$5.6 bilion), Selangor (RM25.7 bilion/AS$5.5 bilion), Sarawak (RM17.6 bilion/AS$3.8 bilion) dan Kedah (RM12.1 bilion/AS$2.6 bilion).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata, Malaysia mempunyai jenama yang baik di persada antarabangsa dan merupakan sebuah negara yang diyakini para pelabur.

Katanya, negara ini mempunyai asas yang kukuh dalam membuka peluang pelaburan dan perniagaan kepada para pelabur.

“Dengan iklim pelaburan yang menarik, negara bersedia menjadi hab ekonomi besar yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pelabur. Malaysia menawarkan pelbagai ciri-ciri kompetitif untuk syarikat-syarikat tampil maju di pasaran
antarabangsa melalui kedudukannya yang strategik di Selat Melaka, ekosistem industri yang komprehensif dikelilingi dengan kekayaan sumber asli serta populasi yang muda, berbakat dan berdaya saing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×