MAHB perkasa tahap kesiapsiagaan hadapi bencana udara - Utusan Malaysia

MAHB perkasa tahap kesiapsiagaan hadapi bencana udara

ANTARA kadet dan rekrut yang menerima anugerah dalam majlis pentauliahan Perbarisan Tamat Latihan Asas atau Passing Out Parade (POP) siri ke-11.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memperkasakan tahap kesiapsiagaan lapangan terbang menghadapi bencana udara menerusi pentauliahan seramai 57 orang pegawai dan anggota baharu Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS).

Dalam Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas atau Passing Out Parade (POP) siri ke-11 itu, seramai sembilan kadet ditauliahkan sebagai pegawai AFRS manakala seramai 48 rekrut lain ditauliahkan sebagai anggota AFRS. 

Menurut MAHB, sehingga Disember 2022, pasukan AFRS MAHB mempunyai kekuatan seramai hampir 800 orang anggota di kesemua 39 lapangan terbang kendaliannya di seluruh Malaysia.

“Secara asas, bagi melengkapkan semua pelatih dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman bertugas, kesemua pelatih pegawai dan anggota AFRS ini dikehendaki melalui latihan intensif bukan sahaja dari sudut fizikal, malah diuji dari sudut intelektual sepanjang tempoh empat bulan setengah latihan setelah proses temu duga terbuka, saringan dan pemilihan dijalankan.

“Bagi tujuan tersebut, para pelatih telah didedahkan kepada modul-modul seperti kawad kaki dan kebombaan, pembiasaan pesawat dan lapangan terbang, alat pernafasan dan peralatan perlindungan diri, komunikasi kecemasan, memadam kebakaran pesawat dan bangunan, penyelamatan dan pengurusan mangsa, pengoperasian jentera bomba, keselamatan kebakaran bangunan, pengendalian bahan berbahaya (HAZMAT) serta pelan kecemasan aerodrom,” katanya dalam kenyataan.

Semasa majlis, pemeriksaan perbarisan disempurnakan oleh Pengurus Besar Kanan MAHB, Mohd Arif Jaafar dan Pengurus Besar AFRS, Muhammad Hidayat Ismail. 

Penubuhan AFRS ini adalah bagi mematuhi keperluan Akta Penerbangan Awam 1969, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016, Civil Aviation Directive 14 Vol I selaras dengan Standard and Recommended Practices (SARPs) yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). 

Ia menetapkan kewujudan mandatori sumber manusia serta aset menyelamat dan memadam kebakaran di sesebuah kawasan aerodrom yang mengoperasi pesawat awam.

Dalam majlis pentauliahan itu, Felix Fizly Welison merangkul Anugerah Keseluruhan Terbaik bagi Kadet manakala Mohd. Fikri Arman bagi keseluruhan rekrut, Ahmad Azman Salem Samani (Anugerah Terbaik Akademik), Syafa’atur Rahim Ebrahim (Anugerah Terbaik Kemahiran Kebombaan), Muhammad Afif Najmi Abdul Rahim (Anugerah Terbaik Kawad Kaki) dan Mohammad Nurfaiz Md. Zaini (Anugerah Terbaik Kecergasan) – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya