LUMUT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan bekerjasama dengan Kumpulan syarikat ADL Sdn. Bhd. (ADL) bagi membangunkan projek tenaga solar terapung terbesar di negara ini di Selangor tahun depan.
Menerusi usahasama itu, ADL dijangka melabur kira-kira RM200 juta bagi membangunkan ladang solar terapung yang mempunyai keupayaan membekalkan tenaga elektrik berkapasiti 50 Megawatt, dalam tempoh sebelum suku ketiga tahun depan.
Ketika ini, anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga kolam bekas lombong di Bestari Jaya dan Serendah untuk dibangunkan projek tersebut.
Pengarah LUAS, Hasrolnizam Shaari berkata, ia sebagai satu usaha untuk mengoptimumkan penggunaan 98 kawasan kolam bekas aktiviti perlombongan di negeri itu yang mana ada antaranya ketika ini tidak diuruskan dengan baik.
“Kami yang berada di bawah pentadbiran Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor diberi tanggungjawab dengan KSSB melaksanakan usaha membaik pulih kolam-kolam tersebut dan LUAS diberi peranan untuk melihat potensi kolam-kolam ini daripada sudut yang lebih luas.
“Oleh itu, kami datang ke sini hari ini untuk melihat kejayaan ADL dalam menjadikan ladang solar di kawasan ini sebagai sumber tenaga alternatif untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Ia juga bagi memenuhi hasrat kepimpinan kerajaan negeri yang ingin melihat usaha seumpama ini di Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke ladang solar terapung ADL di Segari, dekat sini semalam.
Hadir sama, Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pemasaran KSSB, Mohd. Nizam Mohd. Ishak dan Pengarah Urusan Kumpulan ADL, Datuk YK Kong.
Pada program itu, Mohd. Nizam dan Kong turut bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) sambil disaksikan Hasrolnizam.
Menurut Hasrolnizam, semakan pihaknya mendapati projek itu sesuai dilaksanakan di Selangor kerana kolam bekas lombongnya berhampiran dengan akses elemen pembangunan dan mudah untuk disambungkan kepada sistem bekalan TNB kerana kawasan Lembah Klang adalah pengguna elektrik yang besar.
Jelasnya, ladang solar terapung juga sesuai dibangunkan di Selangor kerana aspek pengurusan dan penyelenggaraan yang lebih mudah.
“Kita akan bawa cadangan ini kepada kerajaan negeri dan jika semua proses berjalan lancar, awal tahun depan sudah boleh dimulakan kerja-kerja perancangan dan pengurusan dengan ADL dan KSSB akan melihat kesesuaian kolam dan pembangunan pun secara berfasa,” jelasnya lagi.
Beliau juga memberitahu, antara sebab pihaknya memilih Kumpulan ADL kerana 60 peratus daripada komponen digunakan adalah buatan tempatan dan melihat potensinya dalam mengeluarkan komponen lain seperti untuk sistem pengapungan panel solar tersebut.
Justeru, apabila banyak ladang solar terapung dibangunkan di Selangor, maka difahamkan syarikat tersebut boleh membuka kilang di negeri itu bagi mengeluarkan komponen pengapungan panel solar berkenaan
Sementara itu, Kong memaklumkan projek ladang solar terapung di Segari melibatkan 36,000 keping panel solar berkapasiti 15 Megawatt yang dibangunkan dalam tempoh empat bulan dengan pelaburan RM55 juta.
Jelasnya, tenaga yang terhasil daripada ladang solar itu disalurkan ke pusat pengagihan bekalan elektrik TNB Pantai Remis dengan membekalkan tenaga elektrik untuk 15,000 premis di kawasan tersebut sejak Mac tahun lalu. – UTUSAN










