PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA) terus mempergiat aktiviti keusahawanan menerusi jelajah Karnival USHAniaga di Serambi Teruntum, Kuantan, hari ini.
Karnival yang berlangsung sehingga 4 Disember ini menganggarkan penyertaan 117 usahawan daripada pelbagai bidang dengan sasaran jualan RM1.8 juta bagi merancakkan lagi perniagaan serta sosioekonomi tempatan.
Inisiatif itu seiring dengan penjenamaan baharu UDA iaitu `LIFE’ yang menterjemahkan komitmen UDA dalam memperkasa gaya hidup lestari.
Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, UDA teruja dengan maklum balas positif daripada warga usahawan yang menyertai jelajah Karnival UDA USHAniaga di empat lokasi sebelum ini iaitu Odeon Walk, Kuala Lumpur, Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Angsana Johor Bahru Mall, Johor dan Angsana Ipoh Mall, Perak.
Kata beliau, menerusi jelajah Karnival UDA USHAniaga itu, sebanyak 549 gerai jualan usahawan telah dibuka dengan penjanaan jualan sebanyak RM10.2 juta.
“Jumlah ini amat positif kerana ia melebihi sasaran awal UDA iaitu sebanyak 500 gerai jualan di semua lokasi. UDA berharap dapat meneruskan pencapaian yang memberangsangkan di Serambi Teruntum Kuantan ini seterusnya membantu mengembangkan potensi usahawan tempatan,” katanya pada majlis pelancaran karnival itu.
Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan sumbangan zakat berjumlah RM20,000 kepada empat usahawan asnaf tempatan yang diharap menjadi pemangkin dan semangat kepada usahawan terbabit meneruskan perniagaan mereka.
Norliza berkata, penganjuran karnival itu turut diharap dapat membudayakan aktiviti keusahawanan kepada generasi akan datang dan membuka peluang pekerjaan baharu seterusnya merapatkan jurang ekonomi masyarakat.
Langkah proaktif UDA itu juga katanya, bagi memastikan golongan usahawan sentiasa berdaya saing dan berupaya untuk kelangsungan perniagaan terutamanya dalam persekitaran ekonomi negara yang kian pulih.
Karnival UDA USHAniaga di Pahang turut menjadi platform kepada pengunjung khususnya usahawan untuk mendapatkan informasi dan meneroka peluang insentif bersesuaian di gerai pameran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi-agensi di bawahnya seperti Bank Rakyat, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Institut Koperasi Malaysia (IKMA), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, SME Bank Berhad (SME Bank), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp).
Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program antaranya pameran dan jualan dari setiap segmen perniagaan UDA, ceramah berkaitan kewangan kelolaan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC).
Program turut disemarakkan dengan sesi perkongsian (pocket talk) ‘Pemerkasaan Usahawan’ oleh UDA dan agensi-agensi KUSKOP, sesi perkongsian bersama RichWorks Titan dan usahawan selebriti serta pelbagai aktiviti pentas. Pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan bertuah, pertandingan karaoke dan kuiz. – UTUSAN










