Kadar perbandaran meningkat tiga kali ganda - Utusan Malaysia

Kadar perbandaran meningkat tiga kali ganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar perbandaran di Malaysia telah meningkat tiga kali ganda daripada 28.4 peratus pada 1970 kepada 75.1 peratus pada 2020, dipengaruhi oleh peningkatan penduduk semula jadi, migrasi dan persempadanan semula, menurut Jabatan Perangkaan.

Kali pertama penduduk bandar mula melepasi penduduk luar bandar adalah pada 1991, dengan kadar perbandaran sebanyak 50.7 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, dalam tempoh lima dekad, penduduk bandar berkembang sebanyak 21.4 juta daripada 3.0 juta kepada 24.4 juta manakala penduduk luar bandar pula ialah 8.1 juta pada 2020 berbanding 7.5 juta pada 1970.

“Sebanyak enam negeri telah melebihi 85 peratus pada 2020 berbanding hanya lima negeri pada 2010. Dari segi daerah pentadbiran, sebanyak 31 telah melebihi sasaran pada 2020 daripada 22 daerah pentadbiran pada 2010. 

“Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan 100 peratus penduduk yang tinggal di kawasan bandar, diikuti Selangor (95.8 peratus), Pulau Pinang (92.5 peratus), Melaka (90.9 peratus).

“Selain itu, Kelantan (44.1 peratus), Pahang (52.8 peratus) dan Perlis (53.8 peratus) mempunyai kadar perbandaran yang paling rendah pada 2020,” katanya dalam kenyataan.

Dari segi peningkatan kadar perbandaran, Labuan mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu daripada 81.9 peratus pada 2010 kepada 88.9 peratus pada 2020. 

Sementara itu, Sabah hanya mencatatkan peningkatan 1.5 peratus daripada 53.2 peratus pada 2010 kepada 54.7 peratus pada 2020. 

Selangor mempunyai penduduk bandar terbesar iaitu 6.7 juta (2010: 4.9 juta), diikuti Johor 3.1 juta (2010: 2.3 juta) dan W.P. Kuala Lumpur 2.0 juta (2010: 1.6 juta), manakala Sabah mempunyai penduduk luar bandar tertinggi iaitu 1.5 juta.

Mohd. Uzir berkata, Malaysia masih belum mencapai negara menua pada 2020 apabila penduduk semakin meningkat apabila 65 tahun dan lebih ialah 6.8 peratus, iaitu di bawah paras 7.0 peratus yang dtetapkan oleh garis panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

Namun katanya, penduduk luar bandar telah mencapai ambang penuaan pada kadar 7.3 peratus (2010: 6.2 peratus). 

“Penduduk bandar merekodkan 6.6 peratus (2010: 4.6 peratus) daripada penduduk berumur 65 tahun dan lebih. 

“Jumlah nisbah tanggungan bagi bandar dan luar bandar menurun kepada 44.3 pada 2020 (2010: 48.5). Di peringkat bandar, jumlah nisbah tanggungan menurun kepada 43.0 (2010: 43.9), manakala luar bandar menurun pada kadar yang lebih cepat kepada 48.4 daripada 58.2 pada 2010,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya