KUALA LUMPUR: Institusi kewangan dijangka akan melaksanakan sepenuhnya lima langkah utama diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekang penipuan kewangan menjalang Jun tahun depan.
Menurut Persatuan Bank Malaysia (ABM), semua bank kini sedang melaksanakan langkah itu secara berperingkat.
Pengerusi Pasukan Petugas Industri mengenai langkah memerangi penipuan kewangan, Datuk John Chong Eng Chuan berkata, lebih 80 peratus bank telah melaksanakan talian aduan khusus 24/7 untuk pelanggan melaporkan insiden penipuan kewangan.
“Mereka juga telah melaksanakan pengesahan terhad transaksi perbankan elektronik kepada satu peranti mudah alih atau peranti selamat bagi setiap pemegang akaun.
“Kami berharap semua langkah utama oleh BNM itu dapat dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun depan,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ABM berkata, ia komited untuk mengambil pendekatan holistik ke arah menangani trend penipuan kewangan yang membimbangkan.
Pendekatan itu termasuk memperkukuh pendidikan dan kesedaran dalam kalangan orang ramai di bawah Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan untuk lebih berhati-hati terhadap penipuan kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad, Datuk Abdul Rahman Ahmad menekankan bahawa keselamatan adalah tanggungjawab kolektif yang memerlukan pendekatan satu negara.
“Industri perbankan akan terus melaksanakan usaha secara holistik untuk menangani penipuan kewangan melalui tiga teras iaitu pendidikan, tindakan dan kerjasama.
“Ia akan fokus kepada mewujudkan kesedaran di kalangan semua pihak berkepentingan termasuk orang ramai, mempercepatkan pelaksanaan lima langkah utama seperti yang diumumkan oleh BNM,” katanya.
Kata beliau, industri perbankan juga akan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan untuk mengukuhkan kepercayaan dan keyakinan perbankan dalam talian di Malaysia.
“Selain itu, pelanggan juga harus sentiasa ingat untuk tidak berkongsi kelayakan perbankan, mengelak daripada mengklik pautan yang dihantar melalui mesej dan e-mel daripada sumber yang tidak diketahui dan jangan sekali-kali menggunakan sambungan WiFi awam yang tidak selamat untuk melakukan transaksi perbankan dalam talian atau pembayaran elektronik,” katanya.
Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan telah dilancarkan pada Oktober 2022, dengan slogan “Awas, Fikir, Blok. Ingat 3 Saat Ok”.
Ia merupakan kempen seluruh industri yang bertujuan mendidik dan memperkasakan orang ramai untuk mengamalkan amalan dalam talian yang baik dan mewujudkan kesedaran tentang penipuan. – UTUSAN









