Ericsson, DNB capai rekod dunia kelajuan gigabit menggunakan mmWave - Utusan Malaysia

Ericsson, DNB capai rekod dunia kelajuan gigabit menggunakan mmWave

Pasukan Ericsson dan DNB di tapak ujian Pulau Pinang, dengan DNB Ketua Perancangan Rangkaian & Kejuruteraan, Jun Jack Yong (tiga dari kanan)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ericsson dan Digital Nasional Berhad (DNB) mencapai rekod jarak dunia untuk kelajuan gigabit melalui rangkaian 5G Malaysia, sekali gus membuka laluan untuk kesalinghubungan yang berkualiti tinggi, mampu milik dan berkelajuan tinggi.

Menurut kenyataan, ujian itu yang dijalankan pada frekuensi gelombang milimeter (mmWave) 28GHz, mencapai daya pemprosesan puncak 1Gbps pada jarak rekod 11.18 kilometer (km) dari antena radio dalam Butterworth, Pulau Pinang ke satu titik di luar pulau.

Katanya, rekod jarak terbaharu itu membuktikan keupayaan mmWave dengan sokongan perisian jarak jauh Ericsson dalam menyediakan penyelesaian sambungan internet yang bermutu tinggi dan menjimat kos melalui Akses Tanpa Wayar Tetap (FWA) di kawasan yang mana sambungan berwayar sering menjadi mustahil atas faktor ekonomi.

Jelasnya, ini akan membuka jalan kepada pengendali rangkaian mudah alih (MNO) tempatan untuk menyediakan kesalinghubungan yang lebih baik dan lebih luas untuk mencapai lebih banyak pengguna serta perusahaan.

“Di wilayah yang mempunyai pasaran jalur lebar yang tidak mendapat perkhidmatan atau kurang mendapat perkhidmatan, FWA berpotensi besar untuk merapatkan jurang digital di lokasi luar bandar dan melengkapkan transformasi digital di Malaysia,” ujarnya.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro berkata, melalui pencapaian ini, syarikat itu menunjukkan keupayaannya untuk menyediakan contoh yang kukuh bagi rangkaian 5G bertaraf dunia di Malaysia. 

“Pencapaian ini membolehkan Ericsson bekerjasama dengan DNB untuk menyediakan kesalinghubungan secara pantas untuk sekolah, hospital, perniagaan kecil dan sederhana serta kawasan-kawasan yang dapat meraih manfaat daripada kesalinghubungan yang cekap kos serta ke lokasi yang kurang mendapat perkhidmatan,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun frekuensi mmWave mampu menyampaikan kelajuan yang sangat pantas, lebar jalur yang tinggi dan kependaman yang rendah, penggunaannya masih terhad kerana tidak mampu menempuh jarak lebih jauh berbanding spektrum jalur pertengahan (3.5GHz di Malaysia). 

“Namun, berbekalkan inovasi perisian Ericsson yang dipertingkatkan jarak, mmWave kini boleh digunakan bagi menyokong produk FWA dalam jarak lebih jauh seperti yang ditunjukkan di Pulau Pinang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya