PETALING JAYA: Dividen dan bonus bagi agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 adalah munasabah dan seperti yang dijangkakan, kata penganalisis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, agihan tersebut didapati mengambil kira perkiraan pulangan pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta potensi keuntungan pada masa depan.
Ujarnya, pengumuman bonus tambahan sebanyak 50 sen seunit untuk 30,000 unit pertama yang dipegang oleh setiap pemegang unit juga boleh dilihat sebagai bonus bersasar.
“Bonus tambahan tersebut menunjukkan ASNB mengambil kira pelabur daripada golongan berpendapatan rendah dan mencakupi nisbah pelabur yang lebih besar dan bersasar.
“Jika kestabilan politik ini berkekalan dan berpanjangan, diikuti iklim ekonomi yang lebih kondusif, perancangan dan perlaksanaan pelan pemerkasaan ekonomi yang mapan, mungkin pulangan lebih baik boleh dinikmati pada masa depan,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, ASNB mengumumkan pengagihan pendapatan dana utamanya, ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 sebanyak 3.35 sen dan bonus 1.25 sen, berjumlah 4.60 sen seunit.
Ia lebih rendah berbanding jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit untuk ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.
Bagaimanapun, ASNB mengumumkan bonus tambahan sebanyak 0.50 sen seunit untuk 30,000 unit pertama yang dipegang oleh setiap pemegang unit.
Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM8.9 bilion ini akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit yang memegang 186.4 bilion unit dalam ASB.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, walaupun dalam keadaan pasaran yang sukar, pihaknya telah memberi agihan pendapatan yang kompetitif kepada pemegang unit ASB, termasuk bonus tambahan pada tahun ini.
“Bonus tambahan tersebut adalah untuk membantu pemegang unit kami berhadapan dengan tekanan kos sara hidup.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, tahun ini, syarikat-syarikat Malaysia muncul sebagai penyumbang terbesar kepada pulangan, didorong oleh pelaburan ASB dalam sektor perkhidmatan kewangan, perladangan dan penjagaan kesihatan.
“ASB memanfaatkan prestasi pasaran ekuiti domestik yang agak kukuh pada separuh pertama 2022 untuk meraih keuntungan, mengimbangi semula portfolio dan meningkatkan pegangan tunainya.
“ASB juga terus memberikan pulangan yang mampan dan kompetitif mengatasi penanda aras kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank,” ujarnya.
Unit-unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2023.
Pembayaran dividen dibuat daripada pendapatan bersih ASB manakala bonus dan bonus tambahan dibayar daripada dana proprietari PNB atas budi bicara syarikat. – UTUSAN