Bekas pegawai syarikat dipenjara, denda RM2 juta setiap seorang

Bekas pegawai syarikat dipenjara, denda RM2 juta setiap seorang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah mensabitkan dua bekas pegawai Jalata Management Sdn. Bhd. (Jalatama) kerana menjalankan perniagaan urus niaga dalam derivatif, iaitu sebuah aktiviti pasaran modal terkawal tanpa lesen.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), kesalahan itu dilakukan antara Julai 2011 hingga September 2013.

Jelasnya, Hakim Mahkamah Seksyen, Ahmad Kamar Jamaluddin mensabitkan kesalahan Su Eng Kooi (Su), 47, dan Yap Choong Seong (Yap), 47, dengan dua pertuduhan masing-masing mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dibaca bersama Seksyen 367(1) Akta yang sama.

Katanya, Su dan Yap, kedua-duanya merupakan pegawai Jalatama yang berpangkalan di Kuala Lumpur, pertama kali dikenakan pertuduhan pada 5 Julai 2017.

“Selepas perbicaraan penuh, setiap tertuduh disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara satu tahun dan denda RM1 juta (penjara satu tahun tambahan secara serta-merta) bagi setiap satu daripada dua pertuduhan.

“Mahkamah telah memerintahkan supaya hukuman penjara bagi setiap tertuduh dijalankan secara serentak,” katanya dalam kenyataan.

SC berkata, di bawah Seksyen 58(1) CMSA, seseorang yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, SC mengingatkan orang ramai bahawa berurus niaga dalam derivatif adalah aktiviti terkawal dan sesiapa yang menjalankan perniagaan berurus niaga dalam derivatif memerlukan lesen daripada SC di bawah CMSA.

“SC menasihatkan pelabur untuk mengesahkan lesen atau maklumat pendaftaran individu, syarikat dan platform yang menawarkan perkhidmatan atau produk pasaran modal, sebelum memutuskan peluang pelaburan.

“Mereka juga harus menyemak Senarai Makluman Pelabur SC yang sentiasa dikemas kini untuk memberi amaran kepada pelabur tentang syarikat atau individu yang dikenal pasti menjalankan aktiviti atau penipuan pelaburan tidak berlesen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN