Al Rajhi lancar bank digital Rize

Al Rajhi lancar bank digital Rize

MAJLIS pelancaran bank digital Rize oleh Al Rajhi Bank di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Al Rajhi Bank Malaysia (ARBM) melancarkan bank digitalnya, Rize di mana pelbagai perkhidmatan sudah tersedia dan lebih banyak lagi akan dilancarkan secara progresif.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan melalui produk terbaharu itu ialah deposit, pengeluaran dan pemindahan wang, pengurusan akaun dan pengurusan kewangan peribadi, permohonan kad debit, pembelian dan penyelenggaraan, perkhidmatan ATM dan ePenyata serta pembiayaan peribadi.

Rize dibina dengan teknologi tercanggih untuk menyediakan pengalaman perbankan hujung ke hujung untuk pelanggan bank berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif ARBM, Arsalaan (Oz) Ahmed berkata, Rize ialah bank digital yang mampu memperkasakan pelanggan bagi mencapai harapan dan impian mereka.

Kata beliau, tawaran pembiayaan peribadi bank digital itu diperibadikan berdasarkan matlamat hidup pelanggan.

Jelasnya, pembiayaan peribadi-i oleh Rize ialah produk pembiayaan digital tanpa kertas dan tanpa kerumitan yang memerlukan dokumentasi minimum serta tiada yuran pemprosesan.

“Hanya perlu empat langkah dan 15 minit sahaja untuk mempunyai wang dalam akaun tersebut.

“Dengan pelan pembiayaan peribadi yang dibuat khusus, Rize membolehkan pelanggan mencapai pelbagai matlamat sama ada rumah yang baru diubah suai, pendidikan tinggi atau percutian impian.

“Semua keperluan perbankan Rizers akan tersedia dalam telefon pintar mereka tanpa perlu pergi ke cawangan fizikal,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Rize, di sini, semalam.

Bank digital terbabit juga telah memperkenalkan ciri eksklusif dalam akaun simpanan iaitu Rize Savings Pot, yang tidak ditawarkan oleh institusi kewangan atau pemain teknologi kewangan lain.

Ia mempunyai kadar keuntungan, membolehkan pelanggan memperoleh pendapatan sambil menyimpan.

Rize Savings Pot membenarkan pelbagai sumbangan, di mana pelanggan boleh mengajak keluarga dan rakan-rakan untuk menyumbang ke dalam akaun itu bagi mencapai matlamat bersama dengan lebih cepat.

“Pada masa akan datang, kami mempunyai pasaran yang teguh dikuasakan oleh ekosistem kewangan yang menerajui pasaran.

“Adalah menjadi harapan kami, dengan Rize, orang ramai akan dapat menemui dan mencapai matlamat hidup mereka atau lebih lagi,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN