Yunos Abd. Ghani dilantik Pengerusi baharu Agrobank

Yunos Abd. Ghani dilantik Pengerusi baharu Agrobank

YUNOS ABD. GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agrobank mengumumkan pelantikan Datuk Yunos Abd. Ghani sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa 12 November lalu, menggantikan Datuk Mustapha Buang yang telah menamatkan perkhidmatan sehari sebelum itu.

Yunos merupakan Ahli Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Ahli Majlis Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM), Pengarah World Savings and Retail Banking Institute dan Bendahari Persatuan Badan-Badan Berkanun Malaysia.

“Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dalam Kewangan dari Eastern Michigan University, USA dan Diploma Pengajian & Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM),” jelas Agrobank dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, pihak Bank dan Ahli Lembaga Pengarah menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Mustapha atas sumbangan serta sokongan beliau ketika berkhidmat di Agrobank.

Jelasnya, sepanjang dua tahun perkhidmatan beliau, Mustapha telah menjalankan tanggungjawabnya demi kepentingan dan kesejahteraan Bank serta memastikan standard tadbir urus korporat yang tertinggi dan berintegriti dilaksanakan di Agrobank.

“Mustapha berjaya menerajui serta membantu perniagaan Bank berkembang positif ketika Malaysia dilanda dengan ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Beliau juga bertanggungjawab dalam mengukuhkan aset Bank dengan memastikan pengurusan pentadbiran ekonomi tampil mantap serta prestasi kewangan kekal utuh,” katanya.

Agrobank adalah peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai (VBI) di Malaysia.

Ditubuhkan pada 1969, Agrobank terlibat secara aktif mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan produk dan solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro.

Agrobank merupakan sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 1 Julai 2015. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN