SKUTER ini diketahui ramai sejak kemunculannya pada 2021. Pencinta motosikal ketika itu semakin ramai yang menginginkan skuter sebagai kenderaan harian, jentera berkonvoi dan gaya hidup urban. Ketidakupayaan pihak Yamaha ketika itu yang tidak dapat memenuhi permintaan skuter maxi X-Max yang diluar jangkaan mereka, menyebabkan golongan ini mencari alternatif.
Sungguhpun terdapat tawaran daripada Honda Forza yang juga tergolong dalam kumpulan skuter Maxi 250cc, namun tanda harga pada motosikal Honda yang hampir-hampir sekali ganda X-Max menggagalkan niat ramai peminat. Rekaan kosmetik skuter elegance daripada Modenas pula, ternyata kurang menarik minat sebahagian besar mereka.
Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., ‘terhidu’ akan peluang dan ruang kosong yang ‘ditinggalkan’ oleh pembekal motosikal ini dan menawarkan skuter Maxi 250 di bawah jenama WMoto, yang boleh dikira sebagai saingan terus pada XMax, Forza dan Elegance.
Umum mengetahui, WMoto RT3 ini, telah melalui beberapa proses penjenamaan semula daripada pembuat asalnya iaitu DAELIM XQ250 (dari Korea), dan kemudiannya di bawah penjenamaan pembuat motosikal terbesar China iaitu Zongshen di bawah jenama Cyclone RT3 sebelum Mforce pula menjenamakannya kepada WMoto RT3, dan model terbaharu tahun ini, RT3 S telah diperkenalkan.

PENAMPILAN
RT3S mempunyai rupa fizikal yang sama keseluruhannya dengan model RT3. Tetap mempunyai 3 skim warna yang sama di antara keduanya, akan tetapi terdapat sedikit perubahan daripada rangkuman warna bahagian cover set sekiranya RT3 dan RT3S dipakir sebelah-menyebelah.
Faktor paling ketara terdapat pelekat huruf TFT “gergasi” terpampang di kiri kanan cowling RT3S. Bagi yang selalu mengikuti perkembangan teknologi motosikal dunia, TFT atau Thin Film Transistor, iaitu teknologi pembaikkan papan skrin LCD membolehkan informasi-informasi motosikal dipaparkan secara grafik penuh berwarna, keupayaan menukar lampu latar mengikut keadaan siang atau malam.
Selalunya, apabila mana-mana motosikal yang mempunyai meter TFT, keupayaan untuk berhubungan dengan sistem peranti anda sama ada sistem IOS ataupun Android. Ini memberi kebolehan meter anda menyiarkan sistem pemetaan atau pandu arah, mendengar lagu dan menjawab panggilan telefon (sekiranya boleh dipadankan dengan sistem telekomunikasi dalam helmet anda).

PENUNGGANGAN
Seperti RT3, RT3S ini juga mempunyai kapasiti minyak terbesar dalam kelasnya iaitu 17 liter, yang mana telah mengehadkan kapasiti penyimpanan barangan di bawah pelananya. Tidak seperti XMax yang boleh menyimpan dua helmet penuh muka, RT3S hanya boleh diletakkan satu helmet. Pun begitu, kebanyakan pemilik RT3 dahulu tidak terlalu terkesan dengan had keluasan isipadu ruang penyimpan barang ini, kerana RT3S, seperti RT3, didatangkan dengan rak kotak penyimpan barangan standard dari kilang. Pemiliknya hanya perlu membeli kotak penyimpan barangan sahaja. Itu pun khabarnya, ada kedai yang membuat promosi dengan memberikan kotak tersebut secara percuma sebagai tarikan.
Sekiranya anda belum pernah menunggang RT3 ini, perkara pertama yang pasti anda akan rasakan ialah pelana duduknya yang dirasakan agak rendah. Ini amat disukai oleh penunggang di bawah ketinggian 160cm. Saya turut memuji ruang meletak kaki yang ada pada RT3s ini. Saya mempunyai ketinggian 183cm dan kaki agak panjang, tetapi dapat merasakan kaki saya mampu melunjur agak jauh. Perbandingan fizikal yang telah saya lakukan dengan XMax, walau nampak sama keluasan tempat letak kaki hadapan di antara keduanya, namun kecondongan bahagian pemijak/penyandar kaki bahagian atas lebih mendatar berbanding XMax yang lebih menegak.
Sudah tentu, menunggang dengan paparan meter TFT membolehkan anda mendapat informasi yang banyak dan penting seperti tahap tekanan angin dalam tayar, penunjuk waktu, tahap bahan api, kelajuan, penunjuk jarak dan beberapa fungsi tambahan lain yang tidak terdapat pada model sebelumnya yang hanya mempunyai meter dwi fungsi analog dan digital LCD.
Dari segi faktor penunggangan yang lain, saya dapati ia seolah-olah langsung tiada beza dengan model tahun lepas. Namun, jika ingin dibandingkan dengan penunggangan skuter X-Max, RT3s ini mempunyai suspensi standard kilang yang lebih baik.
Penunggangan yang di bawah 100k/j ternyata amat lancar dan baik. Bagaimanapun, sekiranya anda mula menunggangnya secara agresif, ternyata pengambilan selekoh-selekoh akan sedikit berbuai. Begitupun, faktor ini tidak pernah menjadi masalah bagi pencinta kelajuan kerana penyerap hentakan belakang alternatif cukup banyak terjual di pasaran awam.
Keupayaan tangki bahan api 17 liter itu ditunjukkan terus di meter TFT ini iaitu mampu mencapai 617km berpandukan pada baki bahan api (16.6 liter) yang tercatat pada meter skuter pandu uji saya ini, berbanding dengan X-Max yang mempunyai keupayaan tangki banah api 13 liter. Malah, keupayaan meter TFT tersebut bertukar warna latar belakang ketika penunggangan pada waktu malam turut memberi kelainan kepada penunggangnya.

KESIMPULAN
Mforce Bike Holdings adalah antara pengedar dan pengeluar motosikal tempatan yang pertama mendapat pengiktirafan 5 bintang daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIRO) dalam penilaian MyMAP terhadap dua model motosikal keluaran WMoto (RT3, RT3S dan XTREME 150i) dan SYM (VF3I 185).
Maka, apakah rumusan mutlak yang kerap saya jawab kepada soalan terhadap perbandingan antara WMoto RT3S dengan Yamaha X-Max?
Pertama, terletak kepada kemampuan poket anda sendiri kerana harga pasaran WMoto RT3S adalah sekitar RM17,888 iaitu RM2,700 lebih mahal daripada model RT3 sebelum ini, hanya kerana penambahan meter TFT!
Kedua, ibarat jenama kasut Adidas dan Nike, bergantung pada minat masing-masing. Kalau sudah minat Nike, macam manapun orang lain beri komen negatif tentang jenama itu, anda tetap akan membelinya! – UTUSAN










