WCT catat untung sebanyak RM12 juta S3 TK2022

WCT catat untung sebanyak RM12 juta S3 TK2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: WCT Holdings Berhad mencatatkan keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang ekuiti sebanyak RM12 juta pada suku ketiga (S3) tahun kewangan berakhir 30 September 2022, berbanding rugi sebanyak RM35 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Keputusan yang lebih baik itu menunjukkan daya tahan Kumpulan dalam menyampaikan strategi pertumbuhannya merentasi semua bahagian perniagaan di tengah-tengah persekitaran yang mencabar.

Kumpulan turut mencatatkan peningkatan hasil sebanyak RM470 juta bagi suku yang sama  berbanding RM452 juta yang direkodkan pada suku ketiga tahun lalu.

Secara kumulatif, Kumpulan mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM1.6 bilion untuk sembilan bulan berakhir 30 September 2022, berbanding RM1.3 bilion yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

Keuntungan boleh diagihkan kepada pemegang ekuiti  pula meningkat 2.2 kali ganda kepada RM102 juta berbanding RM46 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Bahagian kejuruteraan dan pembinaan Kumpulan mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM76 juta pada sembilan bulan pertama berbanding RM99 juta dari tahun sebelumnya dan hasil sebanyak RM1.1 bilion bagi tempoh sama.

Keuntungan operasi yang lebih tinggi dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya adalah disebabkan terutamanya oleh pembalikan kos terakru berjumlah RM48 juta daripada penyelesaian anugerah timbang tara.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Lee Tuck Fook berkata, WCT berjaya mengekalkan prestasinya yang baik untuk sembilan bulan 2022 walaupun berdepan dengan persekitaran yang mencabar.

Katanya, bahagian kejuruteraan dan pembinaan terus menjadi penyumbang utama hasil kumpulan dan pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek sambil mengenal pasti peluang baharu untuk menambah buku pesanan sebanyak RM3.8 bilion ketika ini.

“Dari segmen hartanah, fasa endemik semasa akan terus merangsang permintaan untuk tawaran dan pelancaran pembangunan hartanah Kumpulan.

“Pangsapuri berketumpatan rendah terbaharu bahagian pembangunan hartanah, Adenia Apartments di Bandar Parklands Klang mencatatkan perolehan jualan sebanyak 61 peratus sejak dilancarkan pada Ogos 2022.

“Bahagian itu baru-baru ini menyelesaikan projek pembangunan Paradigm Residences di Johor Bahru dan menyerahkan milikan kosong kepada pembelinya pada September 2022,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN